
Laporan/foto: Mohd. Yusof Abd. Samad (Tangkak)
TANGKAK, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Pelancaran penanaman pokok cili secara fertigasi telah diadakan di hadapan rumah ketua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Penarik dan Sungai Mati, Hashim Bandi petang semalam.
Teknologi fertigasi merupakan teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran serta buah-buahan dan ia merupakan gabungan dua perkataan Inggeris iaitu ‘fertilizer’ (baja) dan ‘irrigation’ (pengairan) yang mana kaedah tanaman ini adalah alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Serom dan MPKK DUN Serom yang turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis MPKK di sini serta pengerusi Pertubuhan Peladang kawasan Bukit Gambir dan Tangkak.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Mazlan Alimin dalam ucapan perasmiannya berkata agro pelancongan tidak boleh diabaikan kerana pelancong yang datang di sini bukan sekadar hanya untuk bermandi-manda malah mencari tempat pertanian menarik untuk dikunjungi bersama ahli keluarga.
“Kewujudan kawasan estet seluas 50 ekar yang diusahakan dengan tanaman kelapa pandan menggambarkanĀ golongan muda pada zaman ini boleh berjaya jika mereka tidak mudah berputus asa,ā katanya.
Tambah beliau lagi, usaha gigih dalam mengusahakan tanah yang dimiliki perlu seimbang dengan kesabaran dalam diri dan bagi golongan muda, teruslah berusaha tanpa mengalah jika mengalami kegagalan pertama.
ADUN Serom, Dr. Faizul Amri turut mengakui kepentingan bercucuk tanam dalam kehidupan seharian dan menyeru masyarakat di sini agar dapat memanfaatkan tanah yang ada bagi tujuan pertanian.
“Walaupun tanah yang kita ada hanya sekangkang kera, usahakanlah kerana hasilnya pasti akan mampu membantu kehidupan kita,” ujarnya.
Penduduk tempatan di sini, Bakri Abdullah, 61, menyatakan panduan dan khidmat nasihat yang disampaikan oleh penganjur dapat merangsang semangat bercucuk-tanam yang mana tanpa pendidikan yang tinggi juga mampu memperolehi pendapatan yang lumayan.
Urusetia program ini, Rozaidi Ali menyatakan bahawa melalui teknik yang betul dan teratur, hasil pertanian yang akan diperolehi kelak pasti berlipat ganda dan mendatangkan hasil pendapatan yang tinggi.
Seramai 70 orang masyarakat tempatanĀ turut bersama-sama menjayakan program ini.
-NI-