Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Sambutan Hari Diabetes Sedunia Tingkat Kesedaran Masyarakat

By 14 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jeanne J.Som/RTM (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Diabetes Sedunia yang diraikan pada setiap 14 November di seluruh dunia adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman dan risiko penyakit yang juga dikenali sebagai penyakit kencing manis itu.

Tema sambutan pada tahun ini adalah “Keluarga dan Diabetes” sejajar dengan fokus utama iaitu meningkatkan kesedaran mengenai komplikasi penyakit tersebut dan peranan keluarga bagi membendungnya.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, saringan kesihatan penting dilakukan di peringkat awal terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai faktor risiko yang dikenal pasti seperti obesiti, merokok, gaya hidup yang sedentari (tidak aktif) dan pemakanan yang tidak sihat.

“Banyak kes Diabetes Jenis 2 boleh dicegah dengan menjalani gaya hidup yang sihat dan ia bermula di rumah.

“Sekiranya anda mempunyai faktor keturunan penyakit Diabetes, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mengetahui risiko, tanda bahaya dan apa yang perlu dilakukan untuk mencegah penyakit itu.

“Oleh itu, orang ramai perlu mengambil peluang daripada perkhidmatan kesihatan di negeri ini demi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dengan sentiasa mendapatkan maklumat kesihatan daripada sumber yang sahih,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah komited dalam melaksanakan kempen-kempen kesedaran mengenai kesihatan serta aktiviti-aktiviti menggalakkan amalan hidup sihat bagi pencegahan awal penyakit kencing manis.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Christina Rundi dalam Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sabah di Buhavan Square, Penampang pada Khamis.

Hadir bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan (Unit Penyakit Tidak Berjangkit) Dr. Nirmal Kaur; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Kesihatan Awam) Ab. Razak Md. Noh; Pegawai Kesihatan Kawasan Penampang, Dr. Anisah Jantim; Pegawai Daerah Penampang, Henry Idol dan Penolong Ketua Polis Daerah Penampang, Asp Roni Abd. Rahim.

 

ER

Tinggalkan komen anda