
Laporan/ foto: Muhammad Fandy Azam/ Nur Fariza Farnoh (Melaka Tengah)
MELAKA, 8 Nov (Malaysiaaktif) – “Amalan Demokrasi Berparlimen perlu diterapkan dari awal dan perlu dijadikan salah satu modul pendidikan kepada para pelajar sekolah,” ujar Omar Jaafar dalam ucapan perasmian semasa berlangsung Program Amalan Demokrasi Berparlimen Kelab Malaysiaku Daerah Melaka Tengah 2019 baru – baru ini.
Menurut Omar, program ini mampu memberikan pendedahan kepada para pelajar terutamanya dalam sistem pilihan raya supaya dapat melahirkan generasi baru yang berwawasan dalam mengamalkan demokrasi di negara ini.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong mana – mana agensi kerajaan yang mampu memberikan sesuatu pengetahuan kepada rakyat mengenai dasar – dasar kerajaan dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) telah mula mengorak langkah kearah itu,” ujarnya.
Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah mewakili Pengarah JaPen Negeri Melaka, Mohd Noor Samion berkata objektif utama program ini adalah memberi pendedahan awal kepada pelajar mengetahui situasi sebenar sistem pilihanraya dalam memilih kepimpinan tertinggi bagi menerajui negara ini.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa menyokong usaha JaPen dalam memastikan program berkonsepkan amalan demokrasi ini disampaikan terus kepada para pelajar,” ujarnya.
Program ini merupakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihanraya Negeri Melaka dan turut dihadiri oleh Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Parlimen Kota Melaka.
-KN