Laporan/ foto: Shalene A/P Selva Segar/ Mastura Binti Mohamed Rowther
PULAU PINANG, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Satu pengalaman baru buat para peserta Kembara Minda Negeri Pulau Pinang 2019 apabila mereka dibawa untuk melihat sendiri satu perusahaan kilang kayu arang di Kuala Sepetang.
Pelaksanaan lawatan ke kilang arang Kuala Sepetang adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta Kembara Minda tentang pembangunan infrastruktur ekonomi, pelancongan dan perusahaan yang telah dibangunkan di negeri Perak dalam menjadikan hal produktiviti dan usahawan sebagai salah satu sumber ekonomi.
Penghasilan arang dari kayu bakau bukan sahaja rumit, tetapi juga memerlukan kepakaran tenaga kerja yang rumit dan mencabar. Proses pembakaran kayu bakau di dalam dapur dibahagikan kepada tiga peringkat dan mengambil masa hampir sebulan untuk dijadikan arang sepenuhnya.
Untuk peringkat pertama dan kedua,proses bermula dengan pembakaran api besar dan api kecil selama 20 hari. Seterusnya ia akan ditutup sepenuhnya selama 8 hari untuk proses penyejukan.
Setiap dapur ataupun relau di bina dengan susunan sebanyak 26, 000 unit batu bata. Setiap dapur arang boleh memuatkan sehingga 1, 500 batang kayu bakau dan beratnya yang mencecah 50 tan. Batang kayu bakau akan disusun tegak berdiri supaya proses memasak boleh dijalankan.
Arang kayu bakau yang dihasilkan di Kuala Sepetang mempunyai kualiti yang terbaik dan mendapat sambutan yang tinggi di dalam negara mahupun luar negara.
-II-