Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

‘TVET in School@PD’ – Berjaya Menarik Minat Pelajar Terhadap Bidang TVET

By 26 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairudin AM (Negeri Sembilan)/Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)

PORT DICKSON, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Memupuk minat pelajar sekolah dan menjadikan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang utama pilihan pendidikan pada peringkat pengajian tinggi adalah antara objektif utama penganjuran ‘Program TVET In School@PD’.

Program tersebut telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana dan telah disertai seramai kira-kira 100 orang pelajar tingkatan tiga daripada 12 buah Sekolah Menengah di sekitar Daerah Port Dickson.

WhatsApp Image 2019-11-26 at 14.43.46 (1)

Antara robot yang dihasilkan oleh para pelajar terlibat.

Pengarah Politeknik Port Dickson (PPD) Roslee Yahya, berkata program ini merupakan program kerjasama berbentuk ilmiah yang diadakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson bagi menarik minat pelajar sekolah terhadap bidang TVET.

“PPD sentiasa menyahut agenda Pendidikan Negara dalam  memperkasakan bidang TVET dalam menawarkan kemahiran asas kepada pelajar sekolah kerana pihak PPD mempunyai kepakaran dalam bidang kemahiran dan teknikal TVET tersebut,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson Muzir Ab Manan, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada SMK Intan Perdana selaku tuan rumah dan pihak PPD yang sudi bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson dalam menjayakan program tersebut.

WhatsApp Image 2019-11-26 at 14.43.47

Acara ‘Robot Soccer’ sedang berlangsung.

“Melalui program ini, peserta-peserta telah berjaya menghasilkan robot mini yang berupaya dipertandingkan kehebatannya di samping berjaya memupuk kemahiran kendiri melalui komunikasi dan kemahiran asas yang ditawarkan ke arah memperkasakan TVET secara berterusan selaras dengan hasrat kerajaan yang mensasarkan 50 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2020,” ujarnya ketika ditemui.

Di samping itu, salah seorang pelajar SMK Pasir Panjang yang menyertai pertandingan ‘Robot Soccer’ , Nur Amiera Zulaikha Hardi , 15, menyatakan beliau menyertai program ini kerana minat terhadap bidang robotik.

“Program ini amat menarik dan menyeronokkan, banyak maklumat dan teknologi baharu tentang pembuatan robot yang kami dapat pelajari dan kami juga dapat pengalaman yang cukup berharga,” katanya.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Wan Zulkifly Wan Zakaria.

Turut hadir, Timbalan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, Kamaliah  Abdul Hamid, Penyelaras Program PPD, Wan Asrul Asmi Wan Ishak, Ketua-Ketua Jabatan PPD serta tenaga pengajar PPD.

-AK

Tinggalkan komen anda