Laporan/foto: Hamidah Md Drus & Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Hujan lebat sepanjang hari tidak menghalang 128 pasukan bola dari seluruh negara menyertai acara Pesta Bola Ngoca 2019 di Empang Bangkung, di sini Sabtu lalu.
Pesta yang sering berlangsung apabila musim menuai padi selesai tersebut terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Pertandingan Bola Sepak Sawah dan Pertandingan Mengoca iaitu menangkap ikan di dalam sawah dengan menggunakan tangan.
Menurut Pegawai Daerah Kuala Pilah Syahrul Nizam Saleh, program tersebut adalah cetusan idea Menteri Besar sendiri dan ianya diadakan sebagai salah satu acara pelancongan budaya serta bagi memperkenalkan kehidupan masyarakat desa dan sukan tradisional di Negeri Sembilan.
“Penganjuran program ini dibuat bagi mempromosikan sukan tradisional ini sebagai salah satu program pelancongan utama di negeri ini yang bakal menjadi tarikan utama pelancong dari dalam mahupun luar negara,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian program tersebut.
Tambah Syahrul lagi, program sebegini secara tidak langsung dapat menjana pembangunan ekonomi penduduk tempatan melalui jualan serta promosi produk-produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).
Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir dan berkesempatan menyertai acara bola sepak sawah menentang pasukan pilihan Pejabat Daerah Kuala Pilah yang diketuai oleh Pegawai Daerah Kuala Pilah.
Selain pertandingan bola sepak dan mengoca ikan, turut diadakan pertandingan memanjat tiang licin dan pertandingan tangkap itik dalam petak sawah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Dr Razali Ab Malik, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dan Ketua-ketua Jabatan.
-AK