Laporan/foto: Suhana Ariffin/Maisarah Mohd (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengadakan Program Seminar Transformasi Amalan Baik Peraturan (GRP) Peringkat Negeri Johor di Hotel Holiday Villa Johor Bahru, pagi tadi, di mana ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia dalam melaksanakan Program Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dalam menjalinkan hubungan sinergik bersama sektor awam.
Program ini merupakan inisiatif dalam penambahbaikan pengawalseliaan Peraturan Undang-Undang di Malaysia di mana terdapat pembentangan dan tiga sesi perkongsian yang dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Badrul Hiayam Kassim.
Timbalan Pengarah (Pendaftaran) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, Suhailizan Suliman, memulakan sesi perkongsian mengenai Pengambilan Tanah Johor yang menyentuh pelbagai fasa dalam urusan pemilikan tanah di negeri ini dan pada sesi kedua pula telah menyentuh tentang Pembentangan Konsep Amalan Baik Peraturan (GRP) yang merupakan sistem dan kaedah bertujuan meningkatkan kualiti peraturan disampaikan oleh Pakar Teknikal dan Polisi Amalan Baik, MPC, Datuk Ooi Say Chuan.
Pengurus Kanan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Mohamad Muzaffar Abdul Hamid ketika sesi perkongsian Amalan Baik Peraturan Negeri-Negeri di Malaysia berkata, “kajian terhadap peraturan yang telah dijalankan kebanyakkannya tidak relevan dengan perkembangan semasa.”
“Pada tanggal 12 Disember 2019 yang bakal tiba, akan terdapat banyak transaksi atas talian yang terbesar dimana kebanyakan tempahan akan menggunakan perkhidmatan eletronik untuk membeli barangan secara atas talian,” ujarnya lagi.
Sesi terakhir yang disampaikan oleh Ketua Pengurusan Efektif Dan Dokumen Polisi, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr. Mat Naim Abdullah@Mohd Asmoni telah menyentuh mengenai beberapa isu dan permasalahan dalam menguruskan dokumen polisi serta pengurusan dokumen yang efektif.
Inisiatif seperti ini juga dapat merangsang produktiviti Negara dalam memacu era kemajuan pada masa hadapan kerana memberi impak dari sudut produktiviti, pelaburan yang lebih banyak bagi mempercepatkan proses dan menambah peluang pekerjaan.
Program yang dihadiri oleh 400 pegawai dan kakitangan awam persekutuan serta negeri ini mampu memberi manfaat dalam meningkatkan mutu bagi menjalankan tanggungjawab mereka.
-NI-