Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kerjasama Pelbagai Agensi Neutralkan Ancaman ‘Militan’

By 9 Disember 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Kerjasama pelbagai agensi berjaya mematahkan ancaman kumpulan militan yang merancang aktiviti sabotaj ke atas satu acara di Kompleks Ujana Kewangan yang dihadiri kira-kira 1000 orang baru-baru ini.

Agensi-agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penerangan bekerjasama dalam menangani situasi yang bermula apabila kumpulan berkenaan mencetuskan kebakaran berhampiran lokasi tersebut dan pada masa sama meletakkan satu beg mengandungi bahan kimia di laluan orang ramai semasa proses pengungsian bangunan.

Kekecohan bermula seawal 9.00 pagi, apabila pengawal keselamatan kompleks tersebut menerima makluman terdapat seorang mangsa pengsan dan bertindak menyelamatkan mangsa serta mengawal kebakaran di kawasan koridor dewan konvensyen.

Farid (duduk dua dari kanan) , Nurzalizah (duduk dua dari kiri) bersama para pegawai daripada agensi terlibat dalam satu sidang media.

Farid (duduk dua dari kanan) , Nurzalizah (duduk dua dari kiri) bersama para pegawai daripada agensi terlibat dalam satu sidang media.

Turut dikesan, satu beg hitam yang mencurigakan diletakkan berhampiran sebuah motosikal. Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan yang dikejarkan ke lokasi bertindak meneutralkan beg tersebut dan pemeriksaan lanjut pihak polis dan HAZMAT mendapati beg tersebut bebas daripada bahan letupan serta bahan kimia merbahaya.

Pihak Jabatan Penerangan Labuan yang membuka Pusat Media Sementara turut bertindak mengawal para media yang membuat liputan serta membantu menyalurkan maklumat sahih kepada umum sekaligus menangkis sebarang maklumat yang tidak tepat yang ditularkan pihak tertentu mengenai insiden itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad yang bertindak selaku Komander Operasi mengadakan sidang media sejurus semua ancaman dapat dineutralkan sepenuhnya menandakan berakhirnya senario Latih Amal Ancaman Keselamatan anjuran MKN.

Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) turut dipanggil untuk mengawal keadaan.

Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) turut dipanggil untuk mengawal keadaan.

Menurut Farid, latih amal itu merupakan satu inisiatif yang baik untuk pelbagai agensi mempelajari selok-belok menangani ancaman keselamatan di Labuan dengan berpandukan Arahan MKN No.20.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua yang terlibat dan latih amal ini boleh dijadikan pedoman semua untuk masa hadapan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah, berkata latih amal itu merupakan pertama kali diadakan dengan kerjasama PDRM untuk mengenal pasti tempat-tempat berisiko sebagai lokasi latihan memandangkan Kompleks Ujana Kewangan menempatkan banyak agensi-agensi kerajaan dan pemegang-pemegang taruh selain menjadi kawasan tumpuan.

“Antara tujuan lain adalah memberi kesedaran kepada penduduk tempatan tentang risiko ancaman yang ada selain menguji kesiapsiagaan agensi-agensi keselamatan dalam menangani situasi-situasi tertentu,” katanya ketika ditemui, di sini.

-SH

Tinggalkan komen anda