Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Kawasan Larangan Perikanan Pelihara Alam Marin

By 10 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Anak Leman (Port Dickson)

PORT DICKSON, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Keunikan Pantai Tanjung Biru di sini yang merupakan satu-satunya tempat pembiakan terumbu karang di pesisiran pantai tanah besar tidak dapat disangkal lagi.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip, berkata Pantai Tanjung Biru dan Monkey Bay ini telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan Kawasan Larangan Perikanan 1994 di bawah Akta Perikanan 1985.

“Pewartaan kawasan ini adalah bertujuan untuk mengekang sebarang aktiviti penangkapan ikan dan pengambilan cengkerang atau karang dalam jarak satu batu nautika bagi melindungi terumbu karang yang unik yang ada di pesisir pantai ini,” katanya ketika merasmikan Program ‘Voluntourism Malaysiaku Bersih Indah: Beach & Reef Clean Up Port Dickson’ di Pantai Tanjung Biru, di sini baru-baru ini.

Menurut Halimi, lokasi yang hampir dengan pesisir pantai dan mudah diakses merupakan cabaran besar buat pihaknya dalam melindungi terumbu karang serta hidupan laut yang ada di kawasan berkenaan.

WhatsApp Image 2019-12-09 at 17.35.47

Pelepasan 4,000 benih anak penyu.

“Kajian mendapati terdapat 46 spesis karang dan lima daripadanya adalah spesis karang yang mudah terdedah bahaya, oleh itu, adalah menjadi perhatian Jabatan Perikanan untuk terus memelihara kawasan ini supaya tidak terjejas,” tambahnya.

Dalam pada itu, seramai 90 sukarelawan termasuk 40 penyelam skuba telah menanam 200 terumbu karang dan menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai serta dasar laut.

Program anjuran Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta badan bukan kerajaan (NGO) Mountain Diver dan Trash Hero ini turut melepaskan 4 000 benih ketam bunga dan penyu di pantai berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT Prof. Mazlan Abd Ghaffar dan Pengerusi Mountain Diver Raja Syaiful Bakhtiar Raja Abd Halim.

-AK

Tinggalkan komen anda