Laporan/foto: Rozer Masudin (Merlimau)
MERLIMAU, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) semakin gah dalam acara sukan apabila atlet ragbi kelahirannya, Amalul Hazim Nasarrudin, berjaya mewakili negara dalam beberapa kejohanan utama seperti Temasya Sukan SEA Filipina, baru-baru ini.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal PMM itu telah membantu Malaysia meraih pingat perak pada kejohanan tersebut.
Pengarahnya Rosli Hamid, berkata kejayaan Amalul Hazim membuktikan Politeknik Merlimau mampu merealisasikan matlamat dalam melahirkan atlet dalam kalangan pelajarnya.
“Kejayaan yang diperolehi Amalul Hazim bersama pasukan kebangsaan membuktikan bahawa inisiatif pembangunan sukan di PMM berada dalam landasan terbaik dalam menghasilkan atlet cemerlang pada masa hadapan.
“Saya turut berharap agar kejayaan Amalul ini menjadi pemangkin kepada PMM untuk menghidupkan budaya sukan tidak kira sama ada pelajar atau kepada warga kerja kami,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis PMM Co-Curricular Awards, di sini semalam.
Amalul Hazim telah banyak mencapai kejayaan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa antaranya membantu Malaysia mendapat tempat kelima terbaik di Sukan Asia Palembang 2018, menjuarai Asia Rugby Seven Trophy 2019, juara terbuka Sappora Japan 7s 2018, SCC 7s Singapore, Kuching 7s 2018, Perlis 7s 2018 dan banyak lagi.
Menurut Amalul, bagi meletakkan beliau sebagai pemain pilihan kebangsaan, beliau sentiasa berkerja keras dan membuat latihan sendiri bagi meningkatkan kemahiran dan cara permainan di padang.
“Dalam sukan ini, idola saya ialah Kalyn Ponga iaitu pemain ragbi dari New Zealand yang juga merupakan pemain National Rugby League (NRL) kerana kemahiran permainan yang beliau ada cukup hebat serta cara beliau berfikir semasa bermain membuatkan saya tertarik menjadikannya idola dalam sukan ini.
“Semestinya juga, sumber kekuatan saya ialah ibu dan ayah serta keluarga, selain saudara mara dan rakan taulan yang turut menjadi kekuatan untuk saya meneruskan bermain ragbi sehingga kini,” katanya ketika ditemui.
-SH