Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

NGO Bantu Ringankan Beban

By 24 Disember 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Dalam membantu meringankan beban serta meningkatkan taraf hidup masyarakat, pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan termasuklah Pertubuhan Perpaduan Masyarakat Sejagat Sabah (PERMAKAT) yang kini mempunyai 1,152 orang ahli.

Pengerusi PERMAKAT Mokhtar Ismail, menjelaskan bahawa matlamat utama mereka adalah kebajikan, pendidikan dan keusahawanan.

“Kita sering mendengar mengenai jangan beri ikan kepada orang susah, tetapi berilah pancing agar mereka dapat meneruskan kehidupan setiap hari, disebabkan itulah pendidikan dan keusahawanan merupakan misi teratas kita.

“Melalui bantuan pendidikan, anak-anak ini dapat meningkatkan taraf hidup keluarganya kelak dan melalui keusahawanan masyarakat akan beroleh pendapatan yang baik bagi menyara kehidupan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan dan Pendidikan kepada Golongan Asnaf dan Miskin Tegar Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Ismaily ketika berucap sempena majlis, di sini.

Ismaily ketika berucap sempena majlis, di sini.

Menurut Mokhtar, bantuan kebajikan turut dilaksanakan di mana ahli-ahli PERMAKAT akan masuk ke kampung-kampung bagi menyampaikan bantuan agar dana-dana ini sampai kepada golongan asnaf dan miskin tegar di kawasan terpencil.

Dalam pada itu, Jeiton Salim, 40, yang berasal dari Kampung Gudon, Manggatal, di sini antara insan yang diuji dalam kehidupan. Mempunyai enam orang anak, anak yang kelima disahkan mengidap sindrom Down, masalah jantung berlubang dan masalah tonsil bengkak yang sedang dalam perhatian doktor.

“Pada awalnya, dugaan ini amat perit untuk dihadapi, dengan pendapatan keluarga yang kecil, kami perlu berulang alik ke hospital yang memakan belanja seperti kos perjalanan dan makan minum.

“Saya tidak sanggup memberitahu keluarga mengenai keadaan anak pada ketika itu kerana tidak mahu menyusahkan mereka dan berusaha untuk menanggung sendiri,” kongsinya.

Jeiton (kanan) menggendong anaknya, Suhaimi bagi menerima sumbangan yang disampaikan PERMAKAT oleh Ismaily (tiga dari kiri).

Jeiton (kanan) menggendong anaknya, Suhaimi bagi menerima sumbangan yang disampaikan PERMAKAT oleh Ismaily (tiga dari kiri).

Seorang lagi penerima bantuan, Abidin Awang Damit, 51, dari Kampung Pantai Dalit Tuaran menyifatkan pendidikan merupakan hak yang perlu diberikan kepada setiap insan termasuklah yang kurang upaya.

Ayah kepada penerima Anugerah Pelajar Cemerlang di Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran, Siti Nurhidayah Abidin Ag Damit, 15, tidak jemu menghantar anaknya yang menghidap palsi serebral ke sekolah setiap hari.

“Meski terdapat kekurangan dalam fizikalnya, dia merupakan anak yang bijak dan ini merupakan Anugerah Pelajar Cemerlang yang diterimanya selama tiga tahun berturut-turut di sekolah itu.

“Apa yang mampu saya nasihatkan untuk dia, walau apa yang direzekikan untuknya kelak, pelajaran adalah paling utama dan teruskan menuntut ilmu tanpa jemu,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda