
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
SEMPORNA, 9 Dis (Malaysiaaktif) – International Muslim Friendly Carnival (IMFC) yang berlangsung selama enam hari di Semporna bukan sekadar meraikan keunikan masyarakat dan budaya melalui kaca mata Islam dan pelancongan halal, tetapi ia juga mengetengahkan seni kraf etnik yang cukup halus pembuatannya.
Kehadiran pelancong tempatan dan asing pada karnival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia itu menyediakan pasaran untuk pelbagai hasil kraf tangan etnik Bajau seperti tikar mengkuang dan replika lepa yang diperbuat daripada kayu.
Replika lepa yang amat rumit pembuatannya merupakan antara buah tangan popular dalam kalangan pelancong yang hadir pada karnival yang julung kali diadakan di daerah tersebut merupakan ikon baharu dalam kalendar pelancongan Semporna.
Menurut pempamer, Mohd Rafi Barahim, 43, kesenian, kebudayaan dan tarian merupakan satu warisan yang diwarisi oleh masyarakat Bajau daripada nenek moyang mereka.
“Pada tahun 1994, selepas menamatkan persekolahan di tingkatan 5, saya sering ke rumah datuk untuk melihat mereka membuat kerja mengukir hingga timbul minat untuk mempelajarinya.
“Pada mulanya memang kelihatan agak sukar, saya perlu melihat pada contoh ukiran yang sudah siap, dan melakarnya menggunakan pensel terlebih dahulu sebelum memahatnya secara perlahan.
“Namun, saya lebih gemar mengubahsuai corak untuk dipahat, contohnya seperti ukiran kelolo yang pernah saya pelajari dahulu, selepas saya merasa bosan untuk melakukannya berulang kali maka saya mengubahnya mengikut idea sendiri.
“Walau demikian, coraknya tidak begitu jauh berubah daripada corak asal, hanya sudut kedalaman saya ubah sedikit memandangkan biasanya corak ukiran ini diadaptasi daripada haiwan dan juga tumbuhan,”jelas Rafi.
Rafi akui corak yang dihasilkan oleh nenek moyangnya dahulu agak sukar untuk dilakukan dan hingga kini beliau sendiri belum mahir untuk mengenalpasti hujung dan kepala sesuatu bentuk ukiran.
Namun begitu, mengikut kepakaran yang ada padanya, Rafi sering dijemput oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Cawangan Sabah untuk menjadi tenaga pengajar pada bengkel ukiran kraf.
Para peserta pula terbuka kepada masyarakat setempat yang berminat untuk mempelajarinya apatah lagi segala kos latihan adalah percuma dan dibiayai oleh PKKM Sabah.
Kata Rafi, apa yang membimbangkan adalah kurangnya penglibatan warga muda untuk mempelajari seni kraf ini malahan jika ada yang berminat pula, ramai yang mudah merasa bosan.
“Tetapi pada yang benar-benar meminati seni ukiran ini, ramai yang sudah mengeluarkan dan menjual produk mereka sendiri kerana sememangnya seni ukir ini mempunyai permintaan yang tinggi.
“Tambahan pula, tidak sukar untuk mencari bekalan kayu bagi menghasilkan produk ini kerana kayu tambu-tambu ini mudah diperoleh di tepi laut.
“Tekstur kayu ini sesuai untuk menghasilkan ukiran berukuran kecil dengan cantik dan kemas kerana corak mudah dibentuk serta tidak mudah rosak dan patah,” jelasnya.
Selain replika lepa dan barangan hiasan seperti congkak, penanda buku, bekas makanan ringan dan ukiran berbentuk ayat suci, Rafi juga turut menghasilkan ukiran untuk perabot besar seperti set kerusi dan meja makan yang dilakukan di bengkel berhampiran rumahnya.
Lebih manis, karya seni ukirnya yang kemas dan berkualiti tinggi ini turut mendapat perhatian daripada kerabat diraja Pahang serta Mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Datuk Dr. Rais Yatim.
“Produk-produk saya ini dikenali selepas saya sering dijemput bersama-sama PKKM ke seluruh Malaysia sebagai pempamer pada program-program anjuran mereka.
“Untuk set perabot besar yang saya telah jual pernah mencecah harga RM28 ribu dengan menggunakan kayu merbau dan disiapkan dalam tempoh kira-kira dua bulan,”kongsinya.
Menurut Rafi lagi, walaupun beliau dan isteri Naurana Najamawan, 35, belum dikurniakan cahayamata, namun anak saudara mereka sudah menunjukkan minat untuk mempelajari seni ukir ini.
“Ada juga antara mereka yang sudah menunjukkan kemahiran semulajadi untuk mengukir walaupun saya belum mula mengajar.
“Mungkin mereka sering memerhati ketika saya melakukan kerja dan cuba-cuba untuk membuatnya sendiri, dan ia membuatkan saya bangga kerana kemahiran itu ada dalam diri mereka,”katanya.
Rafi turut mengakui pihak PKKM banyak membantu mempromosikan dirinya serta produk yang dihasilkan. Lebih daripada itu, dia turut membawa nama Semporna ke seluruh Malaysia dan ke luar negara seperti China, Jepun dan Korea.
Rafi turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC dan Tourism Malaysia kerana penganjuran IMFC yang banyak membantu ekonomi penduduk tempatan dari segi kraf, budaya dan pelancongan.
ER