Laporan/foto: Ahmad Fitri Jasni & Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Muhammad Farhan Abdullah (Putrajaya)
KUALA PILAH, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 70 orang kanak-kanak di daerah ini diraikan dengan penuh meriah sempena Program Khatan Perdana 2019 yang berlangsung di Masjid Yam Tuan Raden, di sini Sabtu lalu.
Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah serta Perbadanan Baitulmal Daerah Kuala Pilah.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith, menyatakan kesyukuran terhadap penganjuran majlis ini dan ia mampu mengukuhkan ikatan silaturrahim di antara masyarakat di sini.
“Program yang sinonim diadakan pada musim cuti sekolah ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan sambutan sebegini mampu mengeratkan hubungan baik antara masyarakat di sini.
“Selari dengan peredaran zaman, kita juga dapat saksikan sendiri kecanggihan teknologi dan dunia perubatan yang telah membawa definisi baharu dalam dunia berkhatan dan sewajarnya program sebegini diteruskan pada masa akan datang,” katanya semasa merasmikan program tersebut.
Di samping itu, program tersebut juga sedikit sebanyak dapat membantu keluarga yang kurang berkemampuan kerana peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM30 sahaja.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Pilah Syahrul Nizam Saleh serta pemimpin masyarakat.
-AK