Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Majlis Makan Malam Raikan Jasa Penduduk Kampung

By 31 Disember 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)

SEREMBAN, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Antara fungsi utama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ditubuhkan adalah bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan ke arah melahirkan masyarakat yang progresif dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Seremban Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata MPKK juga bertindak dalam menyampaikan maklumat, memberi penjelasan dan mengambil tindakan mengenai dasar kerajaan untuk disampaikan kepada penduduk-penduduk kampung.

“MPKK sebenarnya bertanggungjawab ke atas kemajuan masyarakat dan kampung, menyatupadukan penduduk serta membina kehidupan masyarakat kampung yang selamat dan sejahtera,” katanya semasa merasmikan Majlis Makan Malam Anak-Anak Seliau, baru-baru ini.

Tambah beliau, MPKK juga berperanan sebagai suara rasmi kerajaan dalam menyampaikan maklumat setiap program pembangunan serta menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kampung Seliau Baru, Ghani Zainuddin berkata Majlis Makan Malam Anak-Anak Seliau ini adalah julung-julung kali diadakan.

“Walaupun pertama kali diadakan, kita lihat program ini mendapat sambutan yang baik sebagai salah satu usaha untuk menghargai penduduk kampung, jabatan atau agensi kerajaan yang selama ini membantu dan bekerjasama kepada pihak MPKK dan KHM Kampung Seliau Baru.

Turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shabli Arshad, Penghulu Mukim Rantau Zulhainan Abd Manaf serta wakil-wakil jabatan sekitar daerah ini.

-AK

Tinggalkan komen anda