Laporan/foto : Sharifuddin Abd Razak/Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 1 Jan (Malaysiaaktif) – Pelancaran Tahun Melawat Johor 2020 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dalam satu majlis istimewa, ‘Visit Johor 2020 Habour Celebration‘ anjuran Tourism Johor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan syarikat pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad.
Sambutan ini bertujuan sebagai publisiti untuk para pengunjung di dalam dan luar negara mengetahui tentang program-program yang akan dilaksanakan dan seterusnya memperkenalkan beberapa destinasi menarik yang perlu dilawati sempena Tahun Melawat Johor 2020.
Pelbagai acara menarik telah disajikan kepada pengunjung bermula semalam dari pukul 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam yang turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Joe Filzzow, DJ Dave, Bunga Isme, The Couple Band dan Orkes A Hizadin.
Bermula Januari 2020, Kerajaan Negeri bersama Tourism Johor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor (MoTAC) telah mensasarkan seramai 18.4 juta pelancong akan berkunjung ke Negeri Johor melalui semua pintu masuk di antaranya Jeti Puteri Harbour dan Jeti Pasir Gudang di Johor Bahru, Jeti Muar, Jeti Kukup di Pontian, Jeti Tanjung Pengelih di Kota Tinggi, Jeti Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Larkin Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan banyak lagi.
Sambutan ini juga turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Negeri Johor dan agihan cenderahati kepada para pelancong yang hadir.
Bagi menggalakkan industri pelancongan di sini, pihak Tourism Johor akan mengadakan pertandingan fotografi paling menarik sepanjang acara sambutan ini berlangsung dan pemenang bagi pertandingan tersebut akan diumumkan pada 15 Januari 2020.
Kemuncak majlis sambutan menjadi bertambah meriah dengan pertunjukan bunga api kepada para pengunjung.
-NI-