Laporan/foto: Fauziah Abdullah/Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 25 Dis (Malaysiaaktif) – Kemeriahan pekan sehari pasti tidak dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang datang berkunjung kerana sambutan oleh penduduk setempat pasti sangat meriah.
Bagi penduduk di Kampung Seliau Baru, di sini, pekan sehari yang dibuka setiap pagi Selasa bukan sahaja menjadi pilihan kaum wanita untuk berbelanja lauk pauk dan barangan dapur malah menjadi medan perjumpaan bersama sahabat handai buat kaum lelaki.
Menurut Pengerusi Komuniti Harapan (KHM) Kampung Seliau Baru, Abd Ghani Zainuddin, ‘Pekan Sari Den’ ini adalah ilham daripada KHM dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai platform kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan.
“Setiap Selasa, penduduk akan menjual hasil tanaman, ternakan dan tangkapan mereka di ‘Pekan Sari Den’ ini dengan caj tapak RM2 ke RM5 sahaja bergantung kepada kapasiti jualan di mana hasil kutipan ini akan kita gunakan semula untuk kebajikan penduduk melalui KHM dan MPKK.
“Sambutan yang kita terima adalah sangat menggalakkan bukan sahaja daripada penduduk setempat malah ada pengunjung daripada luar juga turut datang membeli barangan jualan di sini kerana harganya yang jauh lebih murah,” katanya lagi.
Menurut salah seorang peniaga Roslan Abd Aziz berkata, ikan yang dijual di sini lebih murah berbanding pasar besar di luar yang boleh mencecah sehingga RM20 sekilogram.
“Harga jualan di sini dikawal bagi memastikan penduduk mendapat harga terbaik dan ikan yang dijual juga ditangkap sendiri oleh nelayan Kampung Seliau Baru, sebab itu ia boleh dijual dengan harga yang murah kerana tidak melalui peraih atau orang tengah,” katanya.
Bagi penggemar makanan pula pelbagai jenis kuih muih turut dijual di sini selain terdapat warung yang menyajikan aneka pilihan makanan untuk para pengunjung bersarapan pagi.
-AK