Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Tujuh Kampung Berguru Ilmu ICT Dengan UMSKAL

By 19 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 192 orang peserta dari tujuh kampung di sini mempelajari ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) daripada Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerusi program e-Komuniti.

Menurut Penyelaras Program Dr Wan Nooraishya Wan Ahmad, Program e-Komuniti merupakan tugasan para pelajar bagi subjek IT31103 – Topik-topik dan Isu Semasa dengan penilaian markah sebanyak 80 peratus.

“Program ini melibatkan 85 pelajar tahun akhir yang memberi khidmat masyarakat berasaskan ICT kepada komuniti Labuan yang dilaksanakan pada bulan Oktober hingga November setiap tahun.

“Para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan memberi khidmat masyarakat kepada komuniti yang disasarkan serta diselia oleh penyelia akademik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program e-Komuniti FKI UMSKAL 2019, di sini baru-baru ini.

Dr. Abdullah (empat dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ketua-Ketua Kampung yang menghadiri Majlis Penutupan Program E-Komuniti Fakulti Komputeran dan Informatik UMSKAL 2019.

Dr. Abdullah (empat dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ketua-Ketua Kampung yang menghadiri Majlis Penutupan Program E-Komuniti Fakulti Komputeran dan Informatik UMSKAL 2019.

Tambah Wan Nooraishya, program tersebut mampu memupuk kesedaran dan tanggungjawab sosial pelajar terhadap komuniti berdasarkan perkongsian ilmu ICT selain mengasah kemahiran insaniah pelajar dengan berkongsi tujuan, ilmu, nilai dan pengalaman dalam bidang ICT dengan komuniti.

Sementara itu, Dekan FKI Prof. Dr. Abdullah Gani, berkata FKI menyediakan kemahiran ICT jangka panjang kepada komuniti.

“Menerusi Program e-Komuniti ia dapat menjana pendapatan sekaligus menaikkan taraf ekonomi dalam kalangan penduduk kampung.

“Ia turut memperkenalkan kampung-kampung di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai tarikan pelancongan kepada pelancong tempatan dan luar negara sekaligus dapat menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan.

Tujuh buah kampung yang terlibat dalam program tersebut adalah Kampung Pohon Batu, Kampung Bebuloh, Kampung Pantai, Kampung Patau-Patau 2, Kampung Sungai Lada, Kampung Sungai Miri dan Kampung Sungai Bedaun

-SH

Tinggalkan komen anda