Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Bazaria Wangsa Maju Lenyapkan Monopoli Orang Tengah

By 18 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

 

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Bazaria Wangsa Maju yang bakal menggantikan Uptown Danau Kota dan menghapuskan monopoli ‘orang tengah’ yang mengaut keuntungan atas angin dengan kadar sewaan tapak bazar yang lebih tinggi.

 

Malah, usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan tapak sementara kepada hampir 500 penjaja Uptown Danau Kota dijangka dapat menyelesaikan isu aduan penduduk setempat terhadap bazar tersebut.

 

“Operasi perpindahan yang sedang giat dijalankan ke tapak baru dengan nama Bazaria Wangsa Maju ini bagi memberikan keselesaan kepada penjaja bazar dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik”, demikian menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Majlis Sidang Akhbar Pemindahan Bazaria Wangsa Maju di Menara DBKL hari ini.

 

DBKL hanya mengenakan kadar sewaan bulanan sebanyak RM225.20 untuk makanan basah manakala RM212.70 untuk barangan kering sebulan di tapak Bazaria Wangsa Maju.

Khalid Abdul Samad semasa sesi sidang akhbar bersama media.

Khalid Abdul Samad semasa sesi sidang akhbar bersama media.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata daripada pemantauan yang dibuat mendapati kadar sewaan tapak yang perlu dibayar melalui orang tengah adalah di antara RM500 sehingga RM1,500 sebulan dan kadar tersebut meningkat kepada RM4,000 sebulan apabila menjelang Ramadhan.

 

Mengulas mengenai perkongsian rakaman video mengenai provokasi seorang individu pada 5 Disember lalu di Uptown Danau Kota yang cuba menghalang operasi perpindahan tersebut, Khalid menafikan dakwaan  bahawa perpindahan tersebut tiada isu untuk menghapuskan perniagaan orang Melayu sebaliknya menyelesaikan masalah penjaja tanpa lesen, aduan kesesakan jalan raya dan isu orang tengah sahaja.

 

Semasa sesi sidang akhbar itu juga, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan turut mengumumkan berita gembira iaitu pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan bermula Januari 2020 ke atas penjaja dan penyewa di Uptown Danau Kota yang berpindah ke tapak baru, namun ia tidak membabitkan bayaran lesen kerana setiap peniaga tetap perlu mendapatkan permohonan lesen jualan dari DBKL bagi membolehkan mereka menyewa tapak di bazar tersebut.

 

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang turut menyatakan pihak polis sentiasa memantau kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari mana-mana pihak.

– AO

Tinggalkan komen anda