Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Cuaca Panas Rekod Peningkatan Tangkapan Ular

By 7 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil/APM Sik (Sik)

SIK, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak belakangan ini merekodkan jumlah peningkatan tangkapan ular di beberapa kawasan kediaman, di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata bermula Disember 2019 sehingga kini sebanyak 30 kes direkodkan berbanding hanya 18 kes pada bulan November yang lalu.

“Pihak kami telah menerima beberapa laporan daripada penduduk dan telah berjaya menangkap hampir 30 ekor ular dari kawasan kediaman.

“Antara jenis ular paling banyak dicatatkan adalah ular sawa, tedung senduk, tedung dan tedung selar,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Menurut Haisul, haiwan berdarah sejuk ini akan bertindak agresif ketika cuaca panas disebabkan ia cepat lapar dan mudah salin kulit selain faktor sampingan seperti habitat mereka diganggu, diceroboh atau dimusnahkan.

“Ular biasanya gemar menyorok di dalam tempat yang sejuk seperti kasut, almari, bawah katil serta bilik air. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika memakai kasut serta menggunakan tandas kerana dikhuatiri ada ular tumpang berteduh.

Reptilia ini gemar berteduh di kawasan sejuk serta lembap.

Reptilia ini gemar berteduh di kawasan sejuk serta lembap.

“Sebagai langkah persediaan, semua anggota kami menghadiri kursus bagi menangkap ular di Pusat Latihan Pertahanan Awam yang terpilih bertujuan memantapkan lagi kemahiran menangkap haiwan berdarah sejuk ini dengan menggunakan peralatan khas,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, ular yang ditangkap akan dibawa pulang ke pejabat APM Sik serta diserahkan kepada Jabatan Perhilitan daerah untuk tindakan selanjutnya.

Haisul turut menasihati orang ramai agar tidak bertindak sendirian sekiranya terjumpa haiwan ini kerana ia boleh mengancam nyawa, sebaiknya orang ramai digesa untuk menghubungi APM untuk menangkap haiwan tersebut.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam siaran medianya menyatakan negara kini sedang berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada hujung bulan Mac 2020.

Justeru itu sepanjang tempoh cuaca panas dan kering, orang ramai dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air, berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya.

-SH

Tinggalkan komen anda