
Laporan/foto : Shamsul Sulaiman/Norlida Abdullah (Kulai)
KULAI, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Info On Wheels (IOW) merupakan inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyampaikan dasar-dasar dan maklumat kerajaan kepada orang ramai.
Pejabat Penerangan Daerah Kulai mengadakan hebahan di tempat-tempat tumpuan orang ramai bagi menyampaikan maklumat berkaitan wabak Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang sedang melanda di kebanyakan Negara pada ketika ini.

Orang ramai telah memulakan langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka di Lapangan Terbang Senai.
Di Malaysia sehingga ke hari ini tujuh kes telah dilaporkan di mana satu kes positif telah direkodkan setakat ini di Negeri Johor.
IOW JaPen Kulai telah mengunjungi IOI Mall Bandar Putra, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pasaraya TJ Mart Saleng untuk menyampaikan maklumat kaedah pencegahan melalui risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta menyalurkan maklumat sahih berkenaan virus itu secara bersemuka dengan orang ramai.
Salah seorang pengunjung IOI Mall Bandar Putra, Fadil Misran, 40, yang ditemui mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penerangan di atas inisiatif yang dilakukan dalam menyampaikan maklumat yang tepat secara bersemuka kepada masyarakat.
“Saya berharap agar Pejabat Penerangan dapat datang ke sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan tentang wabak ini kepada para guru dan pelajar-pelajar agar mereka lebih memahami dengan jelas bagaimana koronavirus boleh merebak dan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak jangkitan virus itu,” katanya lagi.
Antara aktiviti yang turut diadakan seperti hebahan unit bergerak, edaran risalah, sesi penerangan dan panduan tentang wabak koronavirus.
Pejabat Penerangan Daerah Kulai akan memperluaskan lagi Program Info On Wheels ini ke lokasi-lokasi tumpuan lain agar maklumat dan dasar-dasar kerajaan yang ingin disampaikan dapat disebarkan dengan lebih menyeluruh kepada masyarakat di daerah Kulai.
-NI-