
Laporan/ foto: Nur Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Negeri Johor yang dikenali dengan destinasi pelancongannya yang penuh dengan tempat bersejarah dan menarik malah turut terkenal dengan keunikan budaya masyarakatnya sentiasa menjadi destinasi pilihan para pelancong tempatan dan juga pelancong asing untuk berkunjung ke sini.
Kepelbagaian dan keunikan makanan yang terdapat di negeri ini turut dipengaruhi dari negara Arab serta Kepulauan Melayu di mana sesetengahnya sukar untuk didapati di negeri lain dan ada juga yang hanya dihidangkan semasa musim perayaan atau sambutan majlis-majlis tertentu sahaja.

Jambal kunto yang dihidangkan bersama kuahnya yang sesuai disajikan sebagai juadah sarapan pagi dan minum petang.
Jambal Kunto yang berasal daripada perkataan jawa merupakan sejenis makanan yang begitu popular di daerah Muar di mana jambal membawa maksud makan manakala kunto pula kuih dan apabila ia digabungkan bermaksud makan kuih.
Teksturnya yang lembut di dalam dan ranggup di luar menjadikan kuih yang dinamakan Jambal Kunto sedap dimakan ketika masih panas dan kebiasaannya ia dihidangkan bersama kuah yang tersendiri di mana ramuan kuah itu dibuat menggunakan kacang tanah, cili kering yang telah dikisar dan garam.
Kuih ini yang diperbuat daripada tepung gandum, gula, garam dan serbuk penaik sebagai bahan utama menjadikan ia begitu menarik dan mengenyangkan kepada sesiapa sahaja yang menikmatinya tanpa perlu memilih juadah lain.
Sapon Ibrahim, 64, berkata beliau memulakan perniagaan ini selepas bersara dan pada awalnya beliau hanya menggunakan kuali sahaja untuk menggoreng tetapi disebabkan permintaan yang sangat memberangsangkan kerana keaslian rasanya yang tersendiri, kini beliau telah membeli peralatan khas untuk menggoreng jambal kunto ini dengan kuantiti yang lebih banyak pada sesuatu masa.
Menurut bekas pensyarah yang memegang kelulusan PHD daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini, beliau membesar dengan kuih ini sejak dahulu lagi apabila arwah datuknya juga merupakan peniaga kuih Jambal Kunto.
Secara puratanya setiap hari beliau mampu mendapat hasil jualan sebanyak RM250 di mana sebanyak 10 kilogram tepung gandum akan diuli seawal jam empat pagi sebelum dijual.
Rashid Ali, 55, yang merupakan salah seorang pelanggan setia Jambal Kunto berkata, “hampir setiap hari saya akan bersarapan di kedai makan ini bersama isteri dan adakalanya kami akan singgah membeli untuk dibawa pulang ke rumah untuk di makan bersama-sama anak-anak dan cucu apabila cuti hujung minggu tiba kerana ia begitu sesuai dijadikan sajian minum petang seisi keluarga sebagai pengikat kasih dan silaturahim.”
-NI-