Laporan/foto: Sarah Abdul Halim/Hasnol Hadi Hashim (Kulim)
KULIM, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya daerah Kulim dipilih menjadi tuan rumah bagi program Karnival Harapan Kedah 2020 yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Januari di Mini Stadium Keladi Kulim.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Harapan Kedah 2020,
Azman Nasrudin, karnival seperti ini memberi ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga kecil mengetengahkan perniagaan mereka kepada masyarakat dan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan tahun 2020 sebagai tahun yang amat dinantikan semua.
“Saya berharap program seumpama ini menjadi medan untuk semua lapisan masyarakat bersatu tanpa mengira bangsa dan budaya demi mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama dan menjadi tahun yang lebih baik kepada semua rakyat.
“Kerajaan negeri juga sedang giat melaksanakan projek-projek yang telah dirancang seperti hub logistik Taman Teknologi Kulim Hi-Tech yang telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia,” ujarnya ketika merasmikan karnival tersebut, di sini semalam.
Karnival Harapan Kedah 2020 diserikan dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan artis terkenal, pemeriksaan kesihatan dan kenderaan, permainan tradisional dan e-sukan serta aktiviti lasak seperti flying fox dan wall climbing.
Terdapat lebih 118 tapak pameran dan jualan disediakan dengan sasaran seramai 50,000 hingga 100,000 pengunjung dijangka membanjiri karnival berkenaan termasuk dari negeri berhampiran antaranya Perak dan Pulau Pinang.
-SH