Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kemarau Jejaskan Hasil Pendapatan Pesawah

By 17 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Nurazreen Abd Rahman/ Salawati Bt Md Shariff (Seberang Prai Utara)

PINANG TUNGGAL, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Sebahagian besar kawasan utara kini menghadapi keadaan cuaca kemarau yang serius berikutan musim kemarau yang tiba lebih awal menurut daripada sumber Jabatan Meteorologi Malaysia. Maklumat ini juga turut dihebahkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya bagi membantu agensi-agensi kerajaan menyampaikan maklumat lebih awal kepada masyarakat untuk membuat persediaan menghadapinya.

Seluas 1, 164 hektar tanaman padi melibatkan seramai 827 petani di kawasan Seberang Perai Utara antaranya Paya Keladi, Pinang Tunggal dan Pantai Kamloon kini menghadapi masalah dan risau dengan hasil jualan padi mereka akan berkurangan  berikutan menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin mendengar keluhan petani

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin mendengar keluhan petani

Berikutan kebimbangan para petani tersebut, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin telah turun padang mengadakan lawatan kerja ke kawasan terbabit untuk membantu dan menyelesaikan beberapa masalah secara jangka pendek dan jangka panjang.

“Tindakan jangka pendek adalah dengan meminjam sejumlah 34 mesin pam air bergerak daripada semua jabatan kerajaan seperti Jabatan Pertanian, IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang) dan MARDI ( Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian) ke kawasan yang terjejas. Malah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang turut membantu mengeluarkan 8 mesin pam air yang besar untuk menambah kapasiti air ke dalam bendang yang terlibat ,” katanya pada lawatan kerja berkenaan.

Sim Tze Tzin meneliti keluhan petani

Sim Tze Tzin meneliti keluhan petani

Beliau turut mengingatkan para petani supaya menggunakan bekalan air secara berhemah untuk mengelakkan masalah air yang berterusan selain mengarahkan ketua pengurus air untuk memainkan peranan dan  memastikan masalah ini diselesaikan secara efektif.

Sementara bagi jangka masa panjang, MOA telah meluluskan peruntukan sejumlah RM3.58 juta bagi menaiktaraf Sistem Pam Elektrik dan kelengkapan di Rumah Pam Pinang Tunggal, Skim Pengairan Pinang Tunggal, Seberang Perai Utara yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

Seorang pesawah, Ramli bin Saad, 47, ketika ditemui mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur melihat jabatan dan agensi kerajaan yang kini bertungkus lumus untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh pesawah.

-ii-

 

Tinggalkan komen anda