
Laporan/ foto: Nurazreen Bt Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 17 Jan (Malaysiaaktif) – “Pengurus bank, pengusaha kedai emas dan pajak gadai di nasihatkan memperkemaskan serta memperketatkan prosedur urusan di premis masing-masing bagi mengelak menjadi mangsa pelbagai bentuk penipuan,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Hj. Noorzainy Bin Hj. Mohd Noor.
Sesi dialog ini telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPD SPU) yang berfokuskan kepada aspek pencegahan jenayah terutamanya menjelang musim perayaan iaitu Sambutan Tahun Baru Cina. Majlis ini telah dihadiri oleh pengurus bank, pengusaha kedai emas dan pajak gadai di Daerah SPU bersama Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Balai Polis.
Inisiatif perjumpaan ini adalah untuk mengurangkan kadar jenayah yang berlaku membabitkan institusi kewangan dan kedai emas serta pajak gadai di Daerah SPU. Ketua Polis Daerah telah mengingatkan kepada semua untuk tidak mengabaikan aspek keselamatan di premis masing-masing dan sentiasa mematuhi spesifikasi sistem keselamatan seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa.
“Era baru ni, cabaran PDRM dalam mencegah jenayah amat berbeza. Oleh yang demikian, saya berharap agar hubungan dua hala antara PDRM dan masyarakat tidak terhenti terutamanya dalam konteks pencegahan jenayah,” ujar beliau dalam majlis tersebut.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak ragu-ragu untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada perlakuan yang mencurigakan jika berurusan dengan mana-mana individu. Dalam pada itu, maklum balas yang baik telah diterima daripada semua yang hadir serta mereka amat berbesar hati atas usaha pihak IPD Seberang Perai Utara yang sentiasa menjaga kepentingan dan keselamatan di premis-premis terbabit.
-ii-