Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Kerajaan Melaka Bantu Golongan B40 dan M40 Miliki Rumah

By 7 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)

AYER KEROH, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan semua jenis rumah berjumlah 38,225 unit Rumah Mampu Milik bagi tempoh 2018 hingga 2023. Sehingga kini sejumlah 3,754 unit Rumah Mampu Milik pada harga RM180,000 dan ke bawah telah disiapkan di seluruh negeri Melaka.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Rumah Peduli iaitu rumah percuma kepada rakyat diperkenalkan untuk mereka yang berkelayakan, selain mengekalkan  Rumah Kos Rendah.

Rumah Peduli diberi secara percuma kepada mereka yang memenuhi syarat kelayakan.

Rumah Peduli diberi secara percuma kepada mereka yang memenuhi syarat kelayakan.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan Rumah Mampu Milik berharga RM180,000, Rumah Harapan berharga RM85,000 selain memperkenalkan Skim Rumah Belia dan Rumah Berkat untuk pasangan muda.

“Kadar sewaan seunit Rumah Berkat RM150 sebulan dan tempoh penyewaan maksimum tiga tahun dan sehingga kini sebanyak 60 unit Rumah Berkat  telah disediakan begitu juga dengan Projek Rumah Digital yang dibangunkan untuk golongan M40,” ujarnya.

Menurut Adly lagi, kerajaan negeri akan menyiapkan model Rumah Sejahtera menjelang pertengahan tahun ini. “Reka bentuk Rumah Sejahtera akan dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri dengan fokus diberikan untuk rumah berharga di bawah RM100,000.

“Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 100 unit Rumah Sejahtera dapat dibina dalam tempoh dua tahun akan datang melalui pinjaman Amanah Finance House (AFH) kepada pemohon yang layak,” ujarnya.

Beliau berkata data menunjukkan 70 peratus daripada orang ramai yang berurusan dengan AFH sejak November lalu adalah untuk memohon pinjaman membina rumah dan bukannya untuk membeli rumah.

Dalam perkara lain, Kerajaan Negeri juga telah melaksana banyak inisiatif baharu bagi meringankan beban rakyat antaranya ialah Parking Percuma, Bas Percuma, memperkenalkan Smart Traffic Light, membangunkan WTE Sungai Udang, menubuhkan Jawatankuasa  SCAC  atau Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka, menubuhkan Dana Harta Bumiputra, susu percuma, pampers untuk golongan dewasa, Kad Kesihatan Melaka Sihat serta bantuan untuk pesakit kronik.

“Justeru, semua jabatan dan agensi perlu menilai dan menyemak pencapaian Sasaran Kerja Tahunan (SKT) bagi tahun 2019, dan untuk yang masih belum dicapai, usaha perlu diambil untuk menyusun semula strategi supaya mana-mana  sasaran yang masih belum disempurnakan dapat dilaksana dan diusahakan untuk dicapai sepenuhnya pada tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Perdana Kerajaan Negeri Melaka di MITC di sini, pagi semalam.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari merasmikan Rumah Peduli baru-baru ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari merasmikan Rumah Peduli baru-baru ini.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda