Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Legasi Permainan Gudi Terus Dipelihara

By 7 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Mohamad Zairoolzaman Zaini (Sarawak)

SEBUYAU, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Musim landas atau musim tengkujuh yang melanda Sarawak ketika ini tidak mematahkan semangat penduduk Kampung Tebelu di Daerah Sebuyau menghabiskan masa lapang pada waktu petang mereka untuk bermain permainan gudi.

Menurut Mohamad Zairoolzaman Zaini atau lebih dikenali dengan panggilan Erol, permainan gudi merupakan permainan tradisi penduduk Kampung Tebelu Sarawak sejak sekian lama dan turut dimainkan oleh penduduk kampung-kampung lain di seluruh Sarawak.

“Gudi adalah panggilan dalam loghat Sarawak dan di Semenanjung, gudi dipanggil layang-layang. Gudi yang dihasilkan berbentuk sederhana besar berukuran lebih kurang 1.5 hingga 2 kaki lebar dan panjang

“Terdapat pelbagai jenis dan bentuk gudi yang boleh dihasilkan seperti gudi roket, gudi segiempat sama, gudi segiempat tepat, gudi okang dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Suasana ketika permainan gudi dimainkan.

Suasana ketika permainan gudi dimainkan.

Menurut Zairoolzaman, menghasilan gudi amat mudah iaitu menggunakan buluh yang diraut halus dan lembut untuk dijadikan rangka, kemudian rangka gudi ini akan dibalut dengan kertas yang berwarna warni.

“Permainan gudi amat mudah di mana gudi diterbangkan hingga ke satu paras yang sesuai dan dikawal oleh pemiliknya dengan menggunakan pelbagai teknik seperti teknik biris (mengiring), teknik timpak (tindih), teknik belit dan teknik sintak (benang ditarik mengejut) dengan matlamat utama adalah memutuskan tali gudi lawan.

“Permainan gudi menggunakan benang yang telah disalutkan campuran kaca halus di mana penggunaan salutan benang dengan kaca halus adalah memudahkan pemilik gudi memutuskan benang lawan ketika permainan gudi gansel (laga layang-layang) dimainkan,” tambahnya.

Permainan gudi ini akan terus dikekalkan sebagai khazanah penduduk Kampung Tebelu Sarawak dan terus diwarisi hingga ke anak cucu akan datang.

-SH

Tinggalkan komen anda