Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Anak Leman (Port Dickson)
PORT DICKSON, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ terus memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar yang seimbang dan menyeluruh merangkumi pembangunan infrastruktur, sosio ekonomi dan modal insan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun, berkata KPLB melihat pembangunan ini perlu diimbangkan dan diberikan perhatian yang lebih kepada masyarakat luar bandar.
“Kawasan luar bandar masih lagi dikaitkan dengan kemiskinan dan ini perlu diubah agar menjelang tahun 2030, luar bandar tidak terus dikaitkan dengan kemiskinan.
“Jadi, dalam tempoh ini kita perlu bergerak lebih pantas dan fokus kepada pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya ketika berucap dalam Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di Dewan Orang Ramai Bagan Pinang, di sini kelmarin.
Menurut Rina, kementerian tidak mahu lagi masyarakat luar bandar jauh ketinggalan dan kita mahukan lebih ramai jutawan yang lahir daripada usahawan di luar bandar.
“Kalau dahulu, kita ambil masa tiga ke lima tahun untuk melahirkan usahawan, tetapi sekarang dengan adanya bimbingan, latihan, pemantauan dan program mentor yang dianjurkan, usaha ini dapat dipercepatkan melalui Dasar Luar Bandar 2030 yang dilancarkan pada tahun 2019,” katanya lagi.
Rina berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar pada tahun 2018 meningkat kepada 19.5 peratus berbanding 4.2 peratus pada tahun 2016.
“Penghijrahan ini mampu memberikan impak yang signifikan kepada usaha pembangunan luar bandar dan dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Rina turut berkesempatan melawat ke sekitar tapak pameran serta ziarah kasih ke beberapa buah rumah penduduk di sekitar DUN Bagan Pinang.
Hadir sama, Exco Pembangunan dan Luar Bandar Negeri Sembilan, Ismail Ahmad dan Penyelaras DUN Bagan Pinang, Mohd Ibrahim Khan Amanulla Khan.
-AK