
PUTRAJAYA, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menubuhkan Tourism Recovery Committee bagi memantau perkembangan semasa berhubung isu 2019 novel koronavirus (2019-nCoV), kata menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi.
“Jawatankuasa ini berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dan penjelasan kepada semua pelancong dan langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah menjaga kesihatan diri seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak mereka dijangkiti virus sepanjang berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamaddin, jawatankuasa itu juga berperanan menjaga keselamatan pelancong dan memastikan semua pengunjung berada dalam keadaan selesa dan yakin berdasarkan langkah-langkah kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu ini.
“Ianya termasuklah menyokong usaha KKM mengadakan saringan kesihatan ke atas semua pelancong yang menggunakan laluan udara, laut dan darat di semua pintu masuk ke negara ini,” jelasnya.
Di samping itu, tambah beliau, jawatankuasa ini juga berperanan merancang dan merangka tindakan-tindakan positif bagi mencari pasaran baharu untuk menggantikan sektor pelancongan khususnya dari negara China yang terjejas akibat serangan virus ini.
Tambah Mohamaddin, MOTAC akan sentiasa mengadakan kerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa walaupun wujud kekangan akibat penularan virus itu di Malaysia.
Ini termasuklah bersetuju membenarkan pihak syarikat penerbangan membuat pemeriksaan terhadap semua penumpang yang menaiki pesawat mereka.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Malaysia mengalu-alukan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan China yang menghalang penduduk wilayah Wuhan, Hubei dan kawasan sekitar ke luar negara termasuk Malaysia dan juga membuat lawatan domestik bagi mengelak penularan wabak ini.
Mohamaddin turut menyokong keputusan kerajaan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual untuk pelancong China dari Wuhan dan Hubei yang merupakan pusat jangkitan koronavirus.
Malaysia mempunyai pengalaman berhadapan dengan serangan wabak sebelum ini dan akan berjaya menangani isu koronavirus berdasarkan langkah-langkah drastik yang diambil serta memastikan setiap pelancong yang datang ke negara ini dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit, jelasnya lagi.
— BERNAMA