Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

KPDNHEP Fokus Terjemah Pelan Antirasuah Organisasi Tahun Ini

By 29 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: KPDNHEP

PUTRAJAYA, 29 Jan (Malaysiaaktif)  – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memfokuskan terhadap penterjemahan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, KPDNHEP telah melancarkan OACP 2019-2023, yang menyokong semangat Pelan Antirasuah Nasional, yang diolah supaya lebih menjurus kepada isu dan risiko yang lebih dekat dengan peranan dan fungsi utama kementerian itu.

“Tahun 2020 adalah tahun untuk kementerian lebih fokus dalam menterjemahkan pelaksanaan 95 inisiatif OACP yang telah disepakati bersama,” katanya dalam amanat tahun baharu untuk warga kerja KPDNHEP pada perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini semalam.

Pada 22 Okt lepas, KPDNHEP menjadi kementerian pertama yang melancarkan pelan antirasuah yang menumpukan kepada empat bidang keutamaan iaitu penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perolehan awam; serta tadbir urus dan berintegriti tinggi.

Empat bidang keutamaan itu dipilih berasaskan isu dan cabaran yang dihadapi serta memberi impak kepada kementerian yang bertanggungjawab untuk melindungi hak-hak pengguna dan peniaga.

Dalam amanat tahun baharunya itu, Saifuddin Nasution juga mahu program kesedaran, hebahan, sesi perundingan dipergiatkan pada tahun ini agar matlamat dan visi kementerian lebih difahami serta dihayati oleh setiap warga kerjanya.

Beliau turut mengingatkan warga kerja kementerian agar memberi fokus kepada isu substantif yang mempunyai kepentingan langsung kepada kepentingan negara, selain meningkatkan kemahiran komunikasi agar dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat.

Pada perhimpunan itu juga Saifuddin Nasution melancarkan wajah baharu portal KPDNHEP, yang menyediakan maklumat yang lebih komprehensif seiring dengan kriteria yang ditetapkan Sistem Pemantauan Laman Web dan Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (SPLaSK).

Menurutnya, wajah baharu portal KPDNHEP lebih mesra pengguna dengan reka bentuk yang lebih responsif serta lebih mudah dicapai untuk akses lokasi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda