Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perlis tahun 1441H/2020M yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar mencatat sejarah tersendiri apabila Johan Majlis Tilawah bagi kategori lelaki dan wanita disandang oleh pasangan suami isteri.
Johan Qari, Mohd Anas Abdul Hadi berkata kejayaan ini sangat bermakna dan menjadi detik manis kepada mereka berdua.
“Pada tahun lepas, saya tidak menyertai pertandingan ini di mana isteri saya yang menyertainya telah memenangi Johan Qariah.
“Alhamdulilah saya bersyukur kepada Allah di atas kejayaan ini dan kami akan berusaha untuk menambahbaik lagi bacaan untuk mewakili Negeri Perlis ke peringkat kebangsaan pada 13 hingga 21 Februari di Sabah nanti,” ujarnya lagi.
Bagi Nor Husna Mohammad Salleh yang merupakan Johan Qariah pula berkata, kejayaan pada malam ini telah mengulangi pencapaian beliau pada tahun lepas.
“Namun pada tahun ini ia merupakan detik sungguh istimewa kerana suami saya turut menjadi johan dan saya amat berterima kasih kepada ahli keluarga yang sentiasa menyokong kami.
“Saya akan memperbaiki lagi tahap bacaan pada tahun ini bagi mempersiapkan diri untuk bertanding di peringkat kebangsaan nanti,” tambah beliau.
Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran pada tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 15 peserta Qari dan 8 peserta Qariah yang mengambil bahagian serta 65 peserta lelaki serta 13 peserta perempuan telah mengambil bahagian di dalam pertandingan Hafazan Al-Quran.
Johan kategori Qari dan Qariah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, piala iringan serta hadiah cenderahati dari Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Ibni Al-Marhum Tengku Abdul Rasyid.
Penyampaian hadiah kepada pemenang kategori Hafazan Al-Quran pula telah disampaikan oleh Tuanku Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Hajjah Lailatul Shahreen Akasyah Khalil.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis Azlan Man dan isteri serta barisan kepimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pada malam tersebut juga, Atase Agama Kedutaan Diraja Arab Saudi, Syeikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian turut meyampaikan sumbangan 100 naskah Mushaf Madinah dalam Bahasa Melayu dari Kerajaan Arab Saudi kepada Tuanku Raja Perlis untuk diagihkan kepada 100 buah masjid di Negeri Perlis.
-NI-