Laporan/ foto: Ariza Mohamed Zaki (Seberang Prai Tengah)
PERMATANG PAUH, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Bertempat di Masjid Timah, Permatang Pauh telah berlangsungnya Program Saringan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Seberang Prai 1441H/ 2020M yang melibatkan peserta dari daerah Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah dan Seberang Prai Selatan.
Seramai 34 peserta telah mendaftar untuk memasuki pertandingan ini majoritinya 24 peserta Qari (lelaki) dan 10 peserta Qariah (perempuan) dengan pertandingan akhir Majlis Tilawah Al-Quran Negeri Pulau Pinang dijangka akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas pada 20 Januari ini bertemakan”Negara Rahmah, Ummah Sejahtera.”
Objektif Majlis Tilawah Al-Quran ini diadakan adalah untuk menarik minat masyarakat Malaysia untuk mencintai Al Quran dan seterusnya dapat membentuk budaya cintakan ilmu pengetahuan dalam kalangan generasi muda.
Salah seorang peserta, Abu Hassan Awang, 59 berasal dari Pendang, Kedah yang telah berhijrah selama 30 tahun ke Pondok Pokok Sena, Tasek Gelugor semata-mata untuk mendalami ilmu mengaji Al-Quran diajar oleh Tuan Guru Haji Ahmad Hussin pada ketika itu berkata “Membaca Al-Quran perlulah dengan ilmu supaya sebutan tajwid, fasahah, taranumnya betul dan maksud yang disampaikan adalah tepat dan betul.”
Majlis Penutup Program Tilawah Al-Quran ini telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Seberang Prai Tengah, Kamarul Haizal Koderat. Dalam ucapannya, beliau menggesa supaya masyarakat menjadikan Al-Quran sebagai panduan didalam kehidupan seharian dan haruslah dipupuk dikalangan keluarga untuk mendapatkan ganjarannya.
“Peringkat komuniti qariah perlu mengadakan kelas pengenalan supaya anak-anak qariah mudah untuk mempelajarinya,” katanya sebelum mengakhiri ucapan. Beliau juga turut menyatakan penghargaan terima kasih dan penghargaan kepada AJK Pelaksana Program, AJK Masjid Timah, Permatang Pauh, agensi kerajaan serta para tetamu yang telah hadir dan memberikan sokongan kepada majlis ini.
Pemenang peringkat saringan Majlis Tilawah Al Quran bagi kategori Qari ini telah dimenangi oleh Mohamad Afani Baharum yang mendapat markah 82%, manakala bagi peserta Qariah pula dimenangi oleh Maimunah Awang yang mendapat markah 82%.
-II-