Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pelihara Sungai Ichat daripada Pencemaran

By 8 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Muhammad Arief/ Muhamad Khairul Faizal (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Sungai Ichat merupakan salah satu hub tadahan air untuk dibekalkan kepada penduduk di Cameron Highlands. Lokasi yang terletak di Kuala Terla berhampiran Kampung Raja, Cameron Highlands ini juga rancak dengan aktiviti-aktiviti sektor pertanian. Namun, fungsi Sungai Ichat sebagai sumber air Cameron Highlands berpotensi tercemar apabila aktiviti-aktiviti pertanian yang tidak terkawal akibat pencerobohan tanah secara haram yang bakal memberi kesan terhadap kualiti air.

Penduduk kampung, Mohd Abdullah menyatakan sokongan kerajaan membanteras pencerobohan tanah haram.

Penduduk kampung, Mohd Abdullah menyatakan sokongan kerajaan membanteras pencerobohan tanah haram.

Menurut Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar Daerah Cameron Highlands, Mohd Shahrin Mudzarap menyatakan bekalan air bersih sedia ada untuk menampung permintaan di sekitar daerah Cameron Highlands tidak mencukupi. Bekalan air dari Sungai Ichat akan diproses bagi menampung bekalan air sedia ada.

“Banyak kebun-kebun beroperasi berdekatan bekalan air Sungai Ichat telah mencemarkan air sungai, kesan daripada penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal. Hal ini memerlukan pemulihan berskala besar untuk merawat bekalan air untuk menjadi air bersih sebelum disalurkan kepada pengguna.

“Pencemaran sungai merupakan suatu realiti yang perlu kita tangani kerana sekiranya kita tidak mengambil berat maka ia akan memberi kesan yang lebih buruk pada masa akan datang. Jika dibiarkan tanpa pengawasan, sungai di daerah ini akan tercemar akibat daripada sikap segelintir yang mengambil jalan mudah bagi mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan negatif kepada sungai, alam sekitar dan juga manusia,” ujarnya.

Tambah Shahrin lagi, “sungai merupakan satu khazanah yang perlu kita pelihara supaya fungsinya dalam kehidupan makhluk di dunia ini sentiasa berkekalan.”

Seorang penduduk tempatan yang ditemui, Mohd Abdullah, 56, berkata, “saya bersetuju dengan usahasama Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melestarikan semula daerah Cameron Highlands, terutamanya kebersihan sungai yang menjadi nadi kehidupan agar ianya tidak tercemar dan memberi kesan buruk kepada manusia. Ops Lestari yang dilaksanakan pun sangat baik dalam membanteras kegiatan kebun-kebun haram.”

Katanya lagi, kempen kesedaran perlu kerap diadakan kepada semua terutamanya penduduk tempatan di Kuala Terla dan Kampung Raja bagi menyemai rasa sayang terhadap sungai dengan meningkatkan pengetahuan terhadap kesan-kesan pencemaran sungai serta memupuk kesedaran mengenai betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya sungai.

Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar Daerah Cameron Highlands, Mohd Shahrin Mudzarap (kanan) menerangkan berkaitan pemulihan dan kepentingan air Sungai Ichat.

Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar Daerah Cameron Highlands, Mohd Shahrin Mudzarap (kanan) menerangkan berkaitan pemulihan dan kepentingan air Sungai Ichat.

-KN

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda