
Laporan/foto: Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL, 24 Jan (Malaysiaaktif) – “Masyarakat Jempol diharap dapat terus memanfaatkan kemudahaan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri secara sepenuhnya,” ujar Teo Kok Seong ketika melancarkan Majlis Pencahayaan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Dataran Taman Meranti, di sini kelmarin.
Kok Seong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, berkata projek perintis perkhidmatan bas percuma telah dilancarkan pada Oktober 2019 melibatkan laluan daripada hentian bas Bahau hingga ke Batu Kikir dengan kekerapan sebanyak empat perjalanan setiap hari.
“Apabila program perkhidmatan bas percuma ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat, maka kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan dalam Bajet 2020 untuk melebarkan perkhidmatannya sehingga ke Bandar Baru Serting.
“Ini bermakna perkhidmatan bas percuma akan menambahkan laluannya sehingga ke Hospital Jempol, Pekan Bahau, Klinik Kesihatan Bahau dan Batu Kikir dengan kekerapan setiap satu jam setiap hari,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, majlis pelancaran projek bas percuma tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada 29 Januari ini dan berkemungkinan laluannya juga akan diperluaskan sehingga ke Pekan Rompin dan Pusat Bandar Palong Empat, Lima dan Enam.
Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Jempol (MPJ) atas inisiatif untuk menyerikan Pekan Bahau, Rompin dan Batu Kikir sempena sambutan Tahun Baru Cina dan berharap sambutan tahun ini akan membawa limpahan rezeki kepada negara dan juga rakyat Malaysia.
Turut hadir, Yang Dipertua MPJ Raja Norazali Raja Nordin.
-AK