
Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Seorang nelayan dari Batang Lupar terkejut menjangkakan pukat yang dipasangnya memerangkap buaya, sebaliknya berjaya menangkap seekor pari seberat 29.5 kilogram.
Subadron Jamalludin atau lebih dikenali sebagai Kadey dalam kalangan penduduk tempatan dari Kampung Hulu, di sini berkata beliau bersama empat orang rakannya turun ke hulu Sungai Batang Lupar sekitar pukul empat petang kelmarin.
“Tidak lama selepas dihanyutkan buat kali ketiga, pukat yang saya pasang sedikit tenggelam ke dasar sungai dan menjangkakan pukat tersebut dimasuki oleh buaya.
“Pada awalnya saya fikir untuk memotong sahaja pukat tersebut atas faktor keselamatan namun atas nasihat rakan-rakan kami bersama-sama mengangkat pukat tersebut naik ke bot dan terkejut apabila melihat sebenarnya pukat yang dipasang dimasuki seekor pari dari spesis pari minyak,” katanya ketika ditemui di jeti sungai tersebut, di sini kelmarin.
Menurut Kadey, ikan itu dipotong dan berita itu dihebahkan kepada rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.
“Tidak disangka, dalam beberapa jam penduduk datang membeli dengan harga RM18 sekilogram dan ikan ini habis dijual pada sebelah malam tadi dan saya serta rakan rakan meraih jualan melebihi RM500,” katanya lagi.
Menurutnya, sepanjang 15 tahun bergelar nelayan, ia perolehan terbesar dari spesis pari yang diperolehinya setakat ini.
-SH