Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
KUCHING, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Waktu tamat sesi persekolahan merupakan waktu yang amat sibuk bagi sesebuah sekolah yang amat dekat dengan jalan raya di mana lalu lintas menjadi sesak dengan jumlah kenderaan yang banyak melalui jalan tersebut.
Keadaan lalu lintas yang sibuk dan sesak disebabkan kebanyakkan ibu bapa yang mengambil anak mereka meletakkan kenderan di bahu jalan dan berdekatan dengan pintu utama sekolah.
Menurut Nordin yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua No. 4 Kuching memaklumkan bahawa beliau bersama dua lagi rakannya telah dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusan sekolah untuk mengawal lalu lintas pada waktu pagi dan juga tengah hari.
“Tugas mengawal lalu lintas ini sememangnya memerlukan seseorang yang mahir dan cakna bagi memudahkan pergerakkan pelajar dan ibu bapa yang keluar masuk ke kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Nordin menjelaskan ibu bapa yang mengambil anak mereka balik sekolah terpaksa meletakkan di bahu jalan memandangkan jumlah letak kenderaan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung jumlah kenderaan yang ada.
“Sebagai individu yang dipertanggungjawabkan menjaga lalu lintas ini maka saya dan rakan-rakan amat menitikberatkan aspek keselamatan semua pihak,” katanya lagi.
Rata-rata para ibu bapa yang mengambil anak mereka pulang dari sekolah memuji tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh Nordin dan rakan-rakannya ketika mengawal lalulintas kerana ia memberikan keselesaan dan kemudahan yang amat diperlukan pelajar.
-SH