Skip to main content
Berita TimurTerengganu

YADIM Dekati Masyarakat Besut Melalui KORY 2.0

By 21 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Hapi Zaini Mat Ali (Besut)

BESUT, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan program bersama-sama masyarakat secara berkala dilihat sebagai satu cabang dakwah yang berkesan. Bagi mencapai objektif tersebut, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu telah mengadakan program Komuniti Rahmah Bersama YADIM (KORY) 2.0 di sekitar daerah Besut, baru-baru ini.

KORY 2.0 merupakan hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Pejabat Penerangan Daerah Besut, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Jabi. Program ini telah diadakan di Masjid Jabi dan dimulakan dengan program Tahsin Ibadah: Pengurusan Jenazah dan praktikal di bawah kelolaan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JHEAT, Mohamad Deraman.

Program Tahsin Ibadah: Pengurusan Jenazah oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JHEAT, Mohamad Deraman

Program Tahsin Ibadah: Pengurusan Jenazah.

“Adalah tidak mustahil pada zaman teknologi yang semakin canggih kini, pengurusan memandikan jenazah boleh dipercepatkan dengan diuruskan di dalam bas yang bergerak dan dibantu dengan mesin sekiranya jenazah hendak dibawa pulang ke rumah dari hospital,” ujar Mohamad ketika sesi penerangan secara teori kepada peserta sebelum disusuli praktikal pengurusan jenazah.

Program yang bermatlamatkan “Fastabiqul Khairat” (Mengejar kebaikan) ini turut mengadakan pameran dan pengedaran bahan-bahan penerbitan daripada Pejabat Penerangan Daerah Besut, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan pendaftaran PEKA B40 kepada golongan yang layak oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Besut dan ziarah rahmah kepada 10 buah rumah yang terpilih menerima sumbangan berupa keperluan dapur untuk kegunaan mereka. Pada sebelah petang pula, klinik bacaan Al-Fatihah yang bertujuan membetulkan bacaan Al Fatihah dan cabutan bertuah telah diadakan.

Klinik bacaan Al Fatihah turut diadakan

Klinik bacaan al-Fatihah turut diadakan.

KORY 2.0 telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah YADIM, Azrul Hadi. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan kepentingan menuntut ilmu fardu kifayah.

“Program sebegini diharapkan akan berterusan ke komuniti-komuniti yang lain dalam usaha menyebarluaskan kepentingan menuntut ilmu fardu kifayah.

“YADIM Terengganu mempunyai perancangan untuk mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini bagi memasyarakatkan YADIM dengan pelbagai lapisan komuniti. KORY 2.0 adalah program kali kedua YADIM selepas program pertama di Masjid Darau, Dewan Undangan Negeri Hulu Besut pada akhir tahun lepas” katanya.

Pegawai Penerangan Daerah Besut, Che Nab Che Deris ketika mengagihkan bahan penerbitan Jabatan Penerangan

Pegawai Penerangan Daerah Besut, Che Nab Che Deris ketika mengagihkan bahan penerbitan Jabatan Penerangan.

Pada sebelah malam pula, diadakan majlis pelancaran pasukan SAR untuk daerah Besut, kawasan DUN Jabi dan DUN Hulu Besut yang disempurnakan oleh Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang.

Secara keseluruhan, seramai 400 orang peserta daripada penduduk sekitar terlibat dengan program KORY 2.0 ini.

-ii-

Tinggalkan komen anda