Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Dungun)
DUNGUN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Bagi menghargai sumbangan dan kerjasama dalam komuniti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Melati telah menganjurkan Majlis Penghargaan, Santai Mesra Dan Rondaan Bersepadu Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah berlangsung di pekarangan Pondok SRS Jalan Melati baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, ahli-ahli SRS telah dianugerahkan Sijil Anugerah Cemerlang, Integriti, Komitmen, Harapan dan Sijil Penghargaan kepada semua peronda SRS yang aktif bagi sepanjang tahun 2019, manakala bagi Peronda SRS yang telah melakukan banyak rondaan telah diberikan penghargaan melalui Anugerah Khas.
Program turut mendapat kerjasama Balai Polis Daerah Dungun, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dungun serta Persatuan Kawasan Rukun Tetangga Daerah Dungun.
Gimik dan perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai, Perpaduan Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Muhamad. Beliau berharap KRT Jalan Melati serta Daerah Dungun khususnya terus memainkan peranan aktif dalam menjaga keselamatan komuniti melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwujudkan bawah KRT.
“Kerjasama strategik daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut sama turun padang memberikan sokongan, KRT akan lebih bersemangat dalam melaksanakan rondaan.
“Bagi tahun 2020, KRT juga salah satu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam Projek Rintis Membanteras Penyalahgunaan Dadah dan akan turut sama melaksanakan program bagi mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti sejiran,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut turut telah diaturkan sesi dialog antara Pihak Polis Daerah Dungun bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta KRT secara santai, antara lain memberi penekanan komitmen serta tanggungjawab tentang keselamatan dan kesejahteraan yang harus dipikul secara bersama dan memerlukan kerjasama dalam menanganinya.
Kehadiran pihak Polis Daerah Daerah Dungun nyata meninggalkan impak serta komitmen yang jitu bagi merealisasikan sesuatu program Keselamatan Komuniti, bertepatan dengan slogan ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada.’
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah, Wakil Pegawai AADK Dungun, AJK KRT serta SRS dan ahli-ahli SRS Jalan Melati.
-ii-