
Laporan /foto: RA Othman / Mohd Afnan Hakimi (Marang)
MARANG, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Info On Wheels (IOW) yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) setakat ini telah berjaya dilaksanakan sebanyak 2,028 program yang meliputi 4,162 kawasan di seluruh negara.
“Ini merupakan satu kempen kesedaran yang berjaya kerana kesedaran rakyat tentang bahaya penyakit Coronavirus (COVID-19) telah bertambah,” demikian kata Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ketika menjawab soalan berkenaan jumlah kempen IOW setakat ini.

Program Info On Wheels Jabatan Penerangan menyebarkan maklumat kepada semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak sehingga ke golongan dewasa.
Beliau turut turun padang ke Pasar Binjai Rendah, Marang Terengganu untuk sama-sama menjayakan program Info On Wheels iaitu salah satu program kesedaran yang dikendalikan oleh JaPen dalam usaha untuk menyebarkan maklumat dan info-info penting berserta inisiatif-inisiatif Kerajaan kepada rakyat bagi memupuk kesedaran tentang bahaya penyakit berjangkit terutamanya COVID-19 yang sedang melanda dunia.
Melalui program IOW ini juga, JaPen dapat mempelbagaikan kaedah penyampaian maklumat dan dasar-dasar Kerajaan seperti melalui hebahan Unit Bergerak sebagai medium perantara, edaran bahan penerbitan dan penerangan oleh pegawai-pegawai penerangan.

Petugas Jabatan Penerangan negeri Terengganu menerangkan tentang i-Suri yang merupakan insentif khas kerajaan untuk suri rumah yang berdaftar dalam sistem e-kasih.
“Di Terengganu juga, kempen ini turut melibatkan kesemua 32 Komuniti Harapan Malaysia (KHM) di semua daerah. Penglibatan pemimpin-pemimpin tempatan terutamanya daripada kalangan KHM kita boleh menambahkan lagi kepercayaan rakyat terhadap usaha-usaha Kerajaan dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan mendapatkan info penting dan menerima manfaat sewajarnya.”.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya tidak sesekali menyebarkan berita palsu mahupun mesej tular yang tidak diketahui asal-usul tentang kesahihannya mengenai koronavirus kerana dikhuatiri boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Marang turut melibatkan diri mengedarkan risalah dalam program Info On Wheels.
Katanya, sehingga kini sekurang-kurangnya 12 individu telah diambil tindakan kerana kesalahan tersebut.
Pelbagai bahan penerbitan JaPen telah diedarkan semasa program ini dijalankan antaranya ialah risalah Bahaya Coronavirus, Langkah-langkah Pencegahan Coronavirus, Inisiatif e-Tunai, Skim Peduli Kesihatan Bagi Golongan Bawah 40 (PeKaB40), risalah Skim mySalam dan Pengurangan 18% Kadar Tol.

Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri KKMM diiringi Pengarah Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail mengedarkan risalah coronavirus dan i-Suri kepada peniaga di Pasar Binjai Rendah, Marang.
Ketua-ketua Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, Pos Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut sama hadir mengiringi Eddin mengedarkan bahan-bahan penerbitan kepada peniaga-peniaga dan pengunjung di sekitar pasar Binjai Rendah di samping beberapa gerai pameran dan perkhidmatan turut disediakan seperti pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerangkan tentang PekaB40, gerai pameran mini MySalam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Unifi dan Pos Malaysia Berhad.
-ii-