
Laporan / Foto : Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Sejajar dengan perkembangan digital negara, satu aplikasi baru di atas talian telah diperkenalkan di Malaysia yang dinamakan program e-Wallet.
Program e-Wallet merupakan satu sumbangan secara digital yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang layak sepertimana yang diumumkan pada pembentangan bajet 2020 baru-baru ini. Melalui program ini kerajaan memperuntukkan RM450 juta untuk diagihkan kepada 15 juta rakyat Malaysia yang layak menggunakan e-Wallet.
Warga Machang juga tidak terkecuali daripada menerima bantuan ini, malah ramai yang telah menerima manfaat melalui program e-Wallet.
Bagi Habsah Hassan, 58 yang merupakan seorang peniaga kedai makan, nilai pembelian melalui e-Wallet sebanyak RM30 ini mungkin amat kecil bagi mereka yang kaya, namun bagi golongan berpendapatan rendah seperti kami ia amat besar nilainya.
“Sesungguhnya bantuan ini amat bermakna dan boleh kami gunakan untuk menampung perbelanjaan harian,” Tambah Habsah.
Pengerusi MPKK, Kampung Pauh, Mohd Kahar Abd. Hamid, 52, pula menegaskan setiap rakyat di negara ini wajar melihat secara positif inisiatif yang diberikan pihak kerajaan ini dalam menjaga kebajikan rakyatnya.
“Saya sememangnya sangat yakin kerajaan hari ini yang amat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan kerajaan sentiasa mencari langkah terbaik untuk menangani setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat”ujar Kahar.
Program e-Wallet ini bukan hanya tertumpu kepada satu bangsa malah turut dilaksanakan secara menyeluruh dan melibatkan pelbagai kaum yang berada di Malaysia.
Bagi Ah Heng, 55, merupakan seorang warga Machang yang berbangsa Cina, menjelaskan bahawa semua kaum telah mendapat perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan tanpa ada pilih kasih antara kaum.
“Kerajaan kita pada hari ini merupakan sebuah kerajaan paling baik dan pasti mampu meningkatkan kemakmuran serta pembangunan negara jika diberi ruang masa yang lebih panjang,” jelas Ah Heng.
Masyarakat di Daerah Machang amat berterima kasih dan menghargai pemberian sumbangan menerusi e-Wallet ini mereka juga berharap agar jumlahnya ditambah kepada nilai yang lebih besar sesuai dengan peningkatan kos sara hidup semasa.
– NAZ