
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Program Info on Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Labuan terus mendekati warga Labuan bagi menyebarluaskan inisiatif serta informasi penting kepada masyarakat.
Menurut Pengarahnya Supian Musa, IOW merupakan program hebahan di kawasan awam yang dijalankan oleh Unit Hebahan Bergerak JaPen untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan secara bersemuka kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Pendekatan ini lebih mesra dan santai bagi kami mendekati warga Labuan daripada pelbagai lapisan agar segala mesej yang ingin disampaikan lebih mudah diterima serta difahami.
“Konsep komunikasi secara bersemuka ini bukan sahaja lebih diterima oleh orang awam malah ia memperlihatkan keberadaan JaPen Labuan yang perlu berada di hadapan dalam menguruskan segala isu atau maklumat yang perlu diketahui oleh rakyat diperingkat akar umbi,” katanya yang ditemui sempena program tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Supian, platform ini bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat penting tetapi turut mampu menangani sebarang berita-berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat yang mampu menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara terutamanya di wilayah ini.
“Program yang bermula 23 Januari lepas di seluruh negara telah mendekati kira-kira 2000 warga Labuan dari pelbagai lapisan kaum, umur dan latar belakang pendidikan.
“Hebahan turut memberi penekanan kepada wabak COVID–19 dengan fokus utama untuk mendidik orang ramai berkenaan langkah-langkah pencegahan wabak berkenaan, dan kita akan terus memperluaskan sasaran program ini agar ianya mampu menjadi platform penyaluran maklumat sahih dan boleh dipercayai dengan lebih efektif,” tambahnya.
-SH