
Laporan/foto: Salina Hasan @ Abd Rashid/ Fahrurrazi Mohd Yusof (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) merupakan medium antara pihak kerajaan dengan orang ramai. Pelbagai kaedah telah digunakan dalam mendekati rakyat secara terus bagi menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih.
Selaras dengan itu, satu lagi kaedah terbaharu Jabatan Penerangan Malaysia iaitu Info on Wheels dilaksanakan dengan mengedarkan risalah dan makluman mengenai isu-isu semasa ke kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar, pusat membeli belah, sekolah dan premis perniagaan.
Penyelaras DUN Kuala Linggi, Amran Othman berkata, langkah yang diambil oleh Jabatan Penerangan melalui Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah sangat tepat di kala pelbagai maklumat yang didapati oleh orang ramai tidak diketahui kesahihannya.
“Saya berharap agar usaha yang dilaksanakan ini berterusan dan menyeluruh agar masyarakat mendapat pengetahuan yang sebenar daripada agensi kerajaan dan tidak hanya mempercayai maklumat daripada alam maya,” ujar beliau.
Beliau turut serta menjayakan program Info on Wheels dan mengedarkan risalah mengenai Novel Coronavirus (2019-nCOV), PeKa B40 dan Belanjawan 2020 kepada pengunjung pasar Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi, Masjid Tanah.
-KN