Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Program Generasi Millenia bersama Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau atau nama komersialnya Ustaz Ebit Lew, 36, yang berasal dari Pahang menggunakan pendekatan “Kuasa Pelukan” mampu menyentuh hati dan jiwa para warga pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Malaysia (KKTM), kakitangan dan penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Program pengisian jiwa tersebut telah diadakan di Dewan Seri Perdana, KKTM Kemaman dihadiri hampir 1000 orang untuk menghayati perkongsian dakwah Ebit Lew secara langsung.
Menurut seorang pelajar KKTM Muhammad Syafiq, 20, mendengar pengalaman-pengalaman yang telah dilalui oleh Ustaz Ebit Lew ketika berdakwah dan mendapat tentangan oleh segelintir pihak cukup menarik minatnya.
“Dakwah beliau sangat terkesan dan menyentuh hati dan jiwa para hadirin yang hadir, pendekatan ini juga dapat memberi motivasi kepada seseorang untuk menjadi insan yang lebih baik,” jelasnya.
Bagi seorang suri rumah, Norar Zaini Ali, 40, memberitahu banyak manfaat dan input berguna yang diperolehnya daripada program serta perkongsian pengalaman tersebut.
“Program ini bagus dan banyak ilmu yang berguna yang telah dikongsikan untuk saya praktikkan dalam kehidupan harian, di mana ustaz mempunyai elemen motivasi dan sentuhan hati dalam berdakwah dan mampu menarik masyarakat yang berlainan agama untuk turut mendengar ceramah beliau,” katanya.
Muhammad Naqiuddin Mohd Rasid, 20, seorang pelajar yang dilihat terkesan dengan pendekatan yang dibawa oleh Ebit Lew sehingga mengalirkan air mata memberitahu rata-rata yang hadir tersentuh melihat cara Ebit berdakwah dan memuji caranya yang memberi kesan di hati.
“Suka cara Ustaz Ebit berdakwah dari hati ke hati yang secara tidak langsung boleh mendekati masyarakat dengan sebaiknya. Program ini juga ada sesi soal jawab dengan para hadirin dan apa yang paling menarik adalah “Kuasa Pelukan” dari Ustaz Ebit Lew mampu mengubah dan menjadi insaf dengan ceramah beliau,” jelasnya.
Ebit Lew merupakan seorang penceramah yang sangat disegani dan cerita yang dibawakan jelas dan penuh pengajaran. Turut diselitkan unsur-unsur jenaka supaya para hadirin tidak merasa bosan.
Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dari penduduk di sekitar Kemaman dan pihak KKTM berharap agar program seperti ini akan diteruskan di institusi pengajian tinggi lain di Kemaman.
-ii-