
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Shukor (Daerah Timur Laut)
KEBUN BUNGA, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Pulau Pinang telah menjadikan Program Info on Wheels (IoW) sebagai satu platform untuk menyalurkan maklumat, dasar-dasar kerajaan serta insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada masyarakat pada peringkat akar umbi sempena sambutan Hari Thaipusam tahun 2020 bagi Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah diadakan di Jalan Gottlieb, di sini baru-baru ini.
Pengarah JaPen Pulau Pinang Sabri Said, berkata pihaknya telah memilih lokasi yang strategik bagi IoW kali ini yang mendapat impak positif dengan kehadiran pengunjung mencecah seramai 830 orang bagi tempoh masa dua hari bermula 7 Februari lalu bagi mendapatkan maklumat serta membuat semakan kelayakan berkenaan dengan insentif-insentif yang telah disediakan oleh pihak kerajaan seperti Peka B40, MySalam, e-Tunai Rakyat, i-Suri dan insentif-insentif serta maklumat lain berkenaan dengan dasar-dasar kerajaan.
“Penyampaian maklumat secara bersemuka masih relevan dalam kalangan masyarakat untuk lebih memahami dan jelas dengan maklumat yang disampaikan.
“Petugas juga tidak melepaskan peluang bagi menyampaikan bahan-bahan penerbitan yang disediakan oleh pihak JaPen dan kaedah-kaedah pencegahan mengenai Novel Koronavirus agar masyarakat lebih peka dan memahami bahayanya wabak tersebut,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut.
Menurut Murugan, salah seorang pengunjung pameran dari Perak amat berpuas dengan khidmat dan maklumat yang disampaikan oleh petugas kepadanya.
“Melalui program seperti ini, ia menjadi mudah bagi saya untuk membuat semakan dan kemas kini maklumat serta mendapatkan info yang lebih lanjut berkenaan dengan insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada masyarakat,” katanya.
-ii-