Laporan/foto: Masitah Mat Zin/Jamilah Sulaiman (SEREMBAN)
SEREMBAN, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Masyarakat khususnya ibu bapa perlu menerapkan nilai kebersihan bagi melindungi anak-anak terutamanya ketika Malaysia sedang berdepan dengan isu penularan wabak Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika ini.
Pakar kesihatan sebuah pusat perubatan di sini Dr Shoruben T. Sivapatham, berkata langkah berjaga-jaga boleh diambil bagi mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan seperti pemakaian penutup hidung dan mulut.
“Selain itu, adalah digalakkan untuk mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap dan elakkan berkunjung ke tempat yang sesak dengan orang ramai,” katanya di dalam Program Taklimat Kesihatan Pencegahan dan Kawalan Novel 2019-nCoV.
Peserta taklimat, Loh Mei Wong, berkata taklimat yang diadakan tersebut amat baik untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai tentang wabak 2019-nCoV.
“Masyarakat perlu maklum mengenai apa yang terjadi pada ketika ini dan amatlah penting bagi semua pihak bekerjasama dalam menghadapi situasi ini termasuk mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya lagi.
-AK