Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KBS Perkenal Tujuh Inisiatif Ringankan Beban Akibat COVID-19

By 20 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KBS

PUTRAJAYA, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui agensi-agensi di bawahnya akan melaksanakan Tujuh Inisiatif Proaktif KBS dalam meringankan beban belia yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kementeriannya telah mengarahkan pengurusan tertinggi untuk melihat aspek-aspek kebajikan dan bantuan yang boleh terus diberikan kepada golongan belia yang terkesan akibat penularan wabak tersebut dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac nanti.

“Sebanyak tujuh inisiatif diperkenalkan antaranya pembayaran elaun yang dicepatkan kepada 10 ribu pelajar di 22 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) seluruh negara, penyediaan insentif data internet secara bayaran terus kepada semua pelajar ILKBS serta menyokong pembelajaran secara digital Google Classroom untuk manfaat para pelajar sepanjang tempoh PKP ini.

“KBS turut membantu Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan memperuntukkan RM100,000 membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) mahupun gelandangan belia bawah program Relawan MBM, serta membuka peluang kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan gerak kerja yang lebih teratur serta tersusun dapat dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi.

Reezal menjelaskan, kebajikan atlet Malaysia turut dibantu menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia apabila peruntukan sebanyak RM100,000 disalurkan bagi menyokong dan membantu bekas-bekas atlet yang memerlukan.

“KBS turut memberikan pengecualian bayaran selama enam bulan kepada belia yang menggunakan premis KBS di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di seluruh negara,” katanya lagi.

Reezal turut menyatakan bahawa kesemua Pekerja Sambilan Harian (PSH) di kementeriannya akan diberi pembayaran penuh manakala pelajar praktikal yang menjalani latihan industri di KBS dan agensi di bawahnya akan menikmati pembayaran penuh elaun praktikal bagi bulan Mac 2020.

“Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian tindakan segera yang boleh dilakukan dan berada bawah kawalan KBS secara langsung, Walau bagaimanapun kementerian turut mengambil maklum bahawa terdapat pelbagai lagi inisiatif berkaitan belia yang berada di bawah tanggungjawab kementerian mahupun agensi kerajaan yang lain,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda