
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/ LZNK (Kota Setar)
ALOR SETAR, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan Peruntukan tambahan sebanyak RM9.7 juta bagi memastikan tiada rakyat Kedah terputus bekalan makanan dalam tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai persediaan rakyat Kedah menghadapi Bulan Ramadan tidak lama lagi.
Menurut LZNK, bekalan makanan tambahan ini akan diserahkan kepada semua 578 buah masjid yang telah dijadikan Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin Zakat Kedah secara berperingkat iaitu fasa pertama pada awal April, fasa kedua pertengahan April dan fasa ketiga pada awal Mei.
“Bagi setiap fasa, masjid akan dibekalkan dengan tiga jenis barangan asas iaitu 300 kampit beras, 600 tin sardin dan 300 botol kicap menjadikan jumlah keseluruhan agihan setiap masjid sebanyak 900 set dan akan diagihkan oleh Penolong Amil.
“Jumlah peruntukan zakat ini akan dijangka dapat memberi manfaat kepada 520 ribu buah keluarga yang terputus bekalan makanan di seluruh negeri ini,” menurut LZNK menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, Sultan Kedah, Sultan Sallehudin Sultan Badlishah turut berkenan melancarkan sistem tabung Dana COVID-19 yang dinamakan Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi menampung perbelanjaan rakyat negeri.
“Asnaf Care merupakan satu sistem Dana COVID-19 yang dibangunkan oleh LZNK bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang serta membantu bagi meringankan bebanan golongan yang memerlukan sepanjang tempoh PKP.
“Orang ramai atau syarikat korporat boleh membuat sumbangan di Dana Asnaf Care COVID-19 secara dalam talian di laman sesawang http://asnafcare.com.my,” menurut kenyataan itu lagi.
-SH