Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Sediakan Hotel Percuma untuk Petugas Barisan Hadapan

By 30 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)

SHAH ALAM – 29 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bantuan khas untuk petugas barisan hadapan di negeri berkenaan dengan menyediakan penginapan hotel secara percuma.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penginapan tersebut disediakan di Hotel De Palma Ampang sebanyak 204 bilik sementara 83 bilik lagi di Hotel De Palma Shah Alam.

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri terlebih dahulu bekerjasama dengan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ini adalah hasil inisiatif bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Penawaran ini akan diperluas kepada kelompok lain yang bersesuaian berdasarkan keperluan semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat bersama Pegawai Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor bagi memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa kedua.

“Ia merupakan usaha kerajaan Selangor membantu rakyat yang terkesan dengan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Fokus Pakej Selangor Prihatin 2.0 kali ini, kerajaan negeri ingin memberi bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan impak COVID-19,” katanya.

Amirudin menerusi laman Twitter memaklumkan Kerajaan Selangor akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan buat rakyatnya pada 1 April ini.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin turut mengumumkan Pakej Selangor Prihatin COVID-19 kepada pelbagai golongan melibatkan tujuh insentif dengan nilai RM127.78 juta.

-SH

Tinggalkan komen anda