Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai meragut seorang jururawat dalam kejadian di Rawang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil maklumat awam pihaknya berjaya mengesan dan menangkap suspek pukul 2 petang di Rawang, hari ini.
“Suspek merupakan seorang lelaki warga asing berketurunan Myanmar, berusia 20 tahun dan bekerja membantu keluarganya di pasar borong Kuala Lumpur.
“Polis berjaya menemui barang-barang mangsa yang diragut dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial seorang jururawat berusia 21 tahun ketika sedang membuka pintu pagar rumahnya berhampiran sebuah restoran di Bandar Baru Rawang.
Peragut dikatakan datang dari arah belakang dan meragut beg tangan mangsa sebelum suspek bertindak melarikan diri, namun wajah suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya kehilangan kad pengenalan, kad bank dan dokumen pejabat.
-SH