Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

ATM Patahkan Cubaan PATI Masuki Negara

By 17 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/MARKAS ATM

PUTRAJAYA, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dipercayai warga Rohingya daripada memasuki negara ini melalui laluan air semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memaklumkan melalui pengawasan maritim udara, hasil tindakan pantas oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya mengesan kehadiran sebuah bot PATI-Rohingya di kedudukan 60 batu nautika barat Pulau Langkawi dan memaklumkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tindakan selanjutnya.

“Bertindak balas daripada maklumat ditrima tersebut, TLDM telah mengatur gerak dua buah kapal iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR menuju ke lokasi yang dimaklumkan bagi tujuan pengawasan dan pengesahan, di mana sebuah helikopter Super Lynx dari KD LEKIU telah diterbangkan bagi mendapatkan gambaran jelas para penumpang bot berkenaan sebelum diiring keluar daripada perairan negara oleh kapal TLDM.

“Didapati kira-kira 200 orang PATI Rohingya berada di dalam bot tersebut yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Markas Angkatan Tentera Malaysia, hari ini.

Aset TLDM yang tiba untuk mengusir PATI daripada memasuki perairan negara.

Aset TLDM yang tiba untuk mengusir PATI daripada memasuki perairan negara.

Affendi turut memaklumkan, kejayaan operasi pengawasan maritim udara adalah usaha bersepadu di antara TLDM dan TUDM serta turut melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

“Operasi kawalan keseluruhan persempadanan negara baik di daratan mahupun perairan akan terus diperketatkan oleh ATM termasuklah kerjasama daripada agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang lain seperti kawalan persempadanan daratan Malaysia – Kalimantan di Sarawak antaranya di Teluk Melano hingga ke Lubuk Antu dan persempadanan Limbang (Malaysia – Brunei), Ba’kelalan dan Bario yang kini turut diperketatkan dengan rondaan dan sekatan jalan raya.

“Kesemua aspek pengukuhan kawalan persempadanan ini merupakan usaha bagi menghalang penularan kluster baharu wabak COVID-19 berkemungkinan dibawa oleh kumpulan PATI yang cuba mencerobohi negara,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda