PUTRAJAYA, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Kes baharu positif COVID-19 kekal pada dua angka dengan 57 kes dicatatkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini sebanyak 6,002 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu hari ini sebanyak 25 adalah kes import manakala selebihnya adalah kes penularan tempatan.
Menurutnya hari ini juga terdapat 84 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala 36 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,729 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa hari ini terdapat dua kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian VOVID-19 di Malaysia sebanyak 102 kes atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
— BERNAMA